Yang Dipertua Pekawanis Datin Seri Masdiana Muhamad ketika program Bual Bicara Puspanita dan Pekawanis sempena Jelajah Selangor Penyayang di Padang Awam Batu Caves, Gombak pada 31 Julai 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMASELANGOR

Ibu bapa perlu tunjuk teladan baik, sentiasa adil dalam mendidik anak

GOMBAK, 31 JULAI : Ibu bapa perlu sentiasa bersikap adil dalam mendidik anak-anak dan tidak sesekali membandingkan antara satu sama lain.

Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis) Datin Seri Masdiana Muhamad berkata perbuatan itu dianggap tidak sihat dan boleh menyebabkan anak-anak bermusuhan.

“Setiap anak mempunyai sikap dan perwatakan berbeza, jadi kita perlu bijak menilai mereka. Kadangkala anak yang lebih tua wataknya lebih manja berbanding yang muda lebih berdikari atau sebaliknya.

“Atau ada juga anak yang kurang dari segi akademik…Apapun sikap mereka kita perlu beri layanan sama adil supaya mereka tidak merasakan bahawa ibu atau bapa sengaja melebihkan anak yang lain.

“Pada masa sama kita jangan sesekali mengetepikan hak anak-anak lain untuk mendapatkan kasih sayang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika program Bual Bicara dan Hi-Tea Puspanita daerah Gombak bersama Pekawanis sempena Jelajah Selangor Penyayang dekat Padang Awam Batu Caves di sini hari ini.

Mengulas cabaran mendidik anak, Masdiana mengakui ia agak mencabar berbanding anak zaman dahulu yang lebih mengikut kata ibu bapa.

“Anak-anak zaman sekarang generasi Z, mereka bukan seperti kita dulu kalau ibu bapa kata tak boleh bermakna tak boleh, tetapi sekarang jika kita kata tidak mereka mungkin memberontak dan persoalkannya.

“Namun, bagi saya ia memang satu cabaran kepada ibu bapa untuk menerangkan kepada anak-anak. Apa yang penting kita perlu bimbing mereka dan cuba terangkan sesuatu situasi itu dengan sebaik-baiknya.

“Sebagai ibu bapa kita juga perlu menunjukkan teladan yang baik kepada anak-anak kerana lama kelamaan mereka pun boleh faham dan terikut. Itu salah satu cara didikan kami kepada enam anak,” katanya.


Pengarang :