Timbalan Pengerusi Lembaga Zakat Selangor (LZS) Tan Sri Ambrin Buang (tiga, kanan) menyampaikan sumbangan kepada Noraini Misman sambil diperhatikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohd Sabirin Mohd Sarbini (dua, kanan) selepas program Korban Perdana LZS 2022 di Kampung Perepat, Kapar, Klang pada 13 Julai 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Ibu tunggal syukur dapat bantuan barang keperluan harian

KLANG, 13 JULAI: Seorang ibu tunggal mengakui bantuan barang keperluan harian dan daging korban diberi Lembaga Zakat Selangor (LZS) sedikit sebanyak meringankan bebannya.

Noraini Misman, 35, berkata bantuan berkenaan membolehkan dia menggunakan wang upah menghantar anak jiran ke sekolah untuk membeli lampin pakai buang ibunya yang sudah lama terlantar sakit.

“Dahulu saya bekerja manakala kakak menjaga ibu. Namun kini kakak sudah berkahwin dan menetap di Johor serta tiada sesiapa membantu menjaga ibu dan anak-anak yang masih kecil dan bersekolah.

“Pendapatan diperoleh agak terhad untuk menampung tiga anak masih bersekolah dengan ibu yang sakit perlu menggunakan lampin pakai buang. Terima kasih dengan sumbangan diberikan,” katanya kepada SelangorKini.

Suhaida Abu Seman. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Sementara itu, Suhaida Abu Seman, 41, berkata beliau bersyukur dengan bantuan diberikan kerana pendapatan sebagai pembantu gerai makan sebanyak RM400 tidak cukup menampung kehidupan harian.

“Suami saya dahulu bekerja sebagai pemandu lori tetapi kini tidak lagi sejak mengalami angin ahmar sejak 2016. Pendapatan agak terhad dan selain gaji bekerja bergantung dengan pencen ilat suami RM900.

“Dengan adanya bantuan ini dapat membantu menampung perbelanjaan harian dan menjaga suami dan adik yang merupakan orang kelainan upaya (OKU),” katanya.

Tahun ini, LZS meneruskan Program Korban Perdana 2022 sempena sambutan Hari Raya Aidiladha di Bait Al-Hasanah.

Sebanyak 13 ekor lembu dan empat kambing dikorbankan sumbangan syarikat korporat dan individu untuk diagihkan kepada 300 keluarga asnaf fakir dan miskin sekitar daerah Klang, Petaling dan Kuala Langat.


Pengarang :