Ratu Boling Malaysia Shalin Zulkifli ketika sidang media berkenaan persaraannya di Stadium Bukit Jalil pada 8 Januari 2021. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Impian bekas ratu boling negara miliki autobiografi tercapai

SHAH ALAM, 18 JULAI: Impian bekas ratu boling negara Shalin Zulkifli, 44, memiliki naskhah autobiografi sendiri menjadi kenyataan, tahun ini.

Bermula dengan penampilan ‘cameo’ dan menjadi penasihat teknikal bagi drama Ratu Ten Pin musim pertama, kini kisah Shalin diteruskan ke musim kedua.

Biarpun kisah hidupnya tidak dipaparkan secara menyeluruh, Shalin bersyukur impiannya dipenuhi JS Pictures Sdn Bhd yang ditunjangi Sheila Rusly dan Azman Yahya atau Jinggo, lapor BH Online.

“Semuanya terjadi secara kebetulan apabila saya berborak kosong dengan Sheila dan Jinggo, tahun lalu. Saya suarakan keinginan menerbitkan kisah autobiografi sendiri.

“Tanpa diduga, Sheila suarakan hasrat sama ketika penggambaran drama musim pertama hampir berlabuh. Sheila beritahu dia ingin menghasilkan musim kedua dengan mengangkat inspirasi kisah hidup saya,” katanya kepada BH Online.

Minat Shalin terhadap sukan boling berputik ketika berusia sembilan tahun selepas sering mengikut ibu bapanya bermain boling. Beliau akhirnya terpilih mewakili i skuad ten pin boling Selangor dan kebangsaan .

Atlet yang gemilang di era 1990-an hingga 2000 menjadi rakyat Malaysia pertama menjuarai Kejohanan Wanita Kent Malaysian All-Stars pada 1994.

“Saya boleh katakan 80 peratus kisah dalam drama Ratu Ten Pin: Shalin diinspirasikan daripada kisah hidup saya.

“Drama ini berlatar belakang zaman sekarang, namun mengambil kira watak saya pada usia belasan tahun antara 18 hingga 21 tahun,” katanya.

Watak Shalin yang dilakonkan Jasmine Suraya dalam Ratu Ten Pin: Shalin musim kedua disiarkan setiap Isnin hingga Khamis jam 11 malam di Astro Ria, sejak 11 Julai lalu.

Selain Jasmine, drama itu turut dibintangi Sheila, Elisya Sandha, Nazim Othman dan ramai lagi.


Pengarang :