EXCO Kesihatan Awam, Perpaduan, Wanita dan Keluarga Selangor, Dr Siti Mariah Mahmud bercakap ketika sesi taklimat program Selangor Saring di Hotel Wyndham Acmar, Klang pada Mei 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Individu alami tekanan disaran kongsi perasaan di Talian SEHAT

SHAH ALAM, 21 JULAI: Individu mengalami tekanan, kegelisahan dan kemurungan biasanya susah berkongsi masalah malah cenderung menyendiri dan mengharapkan ia reda sendiri.

EXCO kesihatan awam bagaimanapun berkata sikap itu amat bahaya selain memakan diri dan menyarankan golongan ini mengadu kepada kaunselor profesional menerusi Talian SEHAT.

“Sebahagiannya merasakan ia hanya perkara kecil dan tidak perlu diketahui orang lain.

“Jangan ambil mudah, kongsi perasaan anda kepada kaunselor bertauliah. Kami sedia mendengar,” tulis Dr Siti Mariah di Facebook.

Orang awam yang ingin meluahkan masalah mereka boleh menghubungi talian yang beroperasi 24 jam menerusi 1700-82-7536 atau 1700-82-7537.

Talian SEHAT diwujudkan awal Jun lalu yang dikendalikan oleh kaunselor berpengalaman untuk mendengar dan membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi.

SEHAT boleh diakses menerusi butang khas di skrin utama dalam aplikasi SELangkah. Antara fungsi boleh diteroka pengguna ialah saringan kesihatan mental, saringan risiko, video psikopendidikan, portal WhatsDoc dan skala literasi kesihatan mental.

Program itu membolehkan pengguna mengetahui tahap kesihatan mental menerusi saringan awal ‘skala tekanan’ dan ‘pemeriksaan risiko’ secara kendiri.


Pengarang :