Petugas ibadah korban memotong daging lembu untuk diagihkan kepada penduduk sekitar sempena Aidiladha di Stelvio Bukit Antarabangsa, Ampang pada 20 Julai 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

MB: Syukuri nikmat ibadah korban, bantu umat kesusahan

Kerajaan Negeri bertekad meringankan beban rakyat akibat inflasi dan kekacauan ekonomi dunia dengan meluaskan capaian penerima manfaat Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (Bingkas).

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Bingkas memberi manfaat kepada keseluruhan anggota keluarga dengan menyasarkan sebanyak 30,000 keluarga dengan bantuan RM300 setiap bulan bagi pembelian barangan keperluan asas serta peralatan pendidikan.

Berikut perutusan penuh sempena Aidiladha:

Kita berada di bulan Zulhijah, bulan yang menghimpunkan dua ibadah besar bagi umat Islam iaitu ibadah haji dan juga ibadah korban.

Dua ibadah ini adalah tali yang menghubungkan kita dengan leluhur agung Nabi Ibrahim, isterinya Siti Hajar dan juga anaknya Nabi Ismail.

Melalui kisah mereka yang diceritakan al-Quran, kita dapat memahami betapa dalamnya pengorbanan mereka demi mempertahankan ajaran tauhid yang hanif.

Dalam surah al-Hajj ayat 34, Allah berfirman: “Bagi setiap umat kami syariatkan ibadah korban supaya mereka mengingati nama Allah yang mengurniakan rezeki yang terdiri daripada binatang ternakan itu. Dan Tuhan kamu semua adalah Tuhan yang Esa, maka hanya pada-Nya kamu menyerah diri, dan sampaikanlah berita gembira kepada orang-orang yang taat.”

Ibadah korban juga disebutkan oleh al-Quran sebagai syiar Allah di mana terdapat kebaikan untuk umat manusia.

Kerana itu, di samping kita digalakkan untuk mensyukuri dan mengingati nama Allah semasa menjalankan ibadah korban, kita tidak boleh melupakan ada bahagian yang perlu diberikan untuk mereka yang memerlukan dan melarat.

Kesyukuran itu bukan semata-mata amalan peribadi tetapi juga mempunyai sisi kemasyarakatan yang dizahirkan melalui amalan membantu dan memberi makan golongan fakir miskin dan mereka yang memerlukan.

Tahun ini juga bukan tahun yang mudah untuk kita semua. Pemulihan pascapandemik yang kita harapkan bukanlah garis lurus tetapi penuh dengan liku dan cabaran.

Kita dapat melihat bagaimana harga barang melambung begitu tinggi disebabkan inflasi dan kekacauan ekonomi dunia. Sudah pasti kesannya amat buruk jika tidak ditangani dengan baik.

Menyedari cabaran ini, Kerajaan Negeri Selangor melancarkan Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (Bingkas). Program ini meluaskan capaian dan menambah baik program Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) dan program Kasih Ibu Smart Selangor Ibu Tunggal (KISS-IT).

Bingkas akan memberi manfaat kepada keseluruhan anggota keluarga dengan menyasarkan sebanyak 30,000 keluarga dengan bantuan RM300 bagi setiap bulan bagi pembelian barangan keperluan asas serta peralatan pendidikan.

Di samping itu juga Kerajaan Negeri melalui Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) turut mengadakan Jualan Prihatin Rakyat Aidiladha yang menawarkan barangan keperluan seperti ayam, daging, telur, minyak masak dan ikan pada harga yang lebih rendah.

Inilah tekad saya dan keseluruhan pasukan saya dalam pentadbiran negeri Selangor yang percaya tidak ada golongan yang harus terpinggir di saat kita berusaha membangunkan negeri ini dalam pelbagai bidang.

Pada tahun ini juga kita bersyukur kerana peluang untuk menunaikan haji dibuka semula setelah dua tahun pandemik. Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah kepada mereka yang dikurniakan rezeki untuk menyahut panggilan haji.

Semoga mendapat haji yang mabrur dan diberikan kesihatan sepanjang pergi dan pulang.

Dato’ Seri Amirudin Shari
Dato’ Menteri Besar


Pengarang :