Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah) menyanyi lagu Jalur Gemilang bersama pelajar Sekolah Bukit Rimau, Klang ketika Jelajah Selangor Penyayang di Padang Awam Batu Caves, Gombak pada 31 Julai 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
SELANGOR

Internet percuma Selangor beri manfaat kepada lebih 30,000 pelajar

GOMBAK, 31 JULAI: Lebih 30,000 pelajar di negeri ini termasuk mahasiswa menerima manfaat langganan internet percuma selama setahun, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata program Data Internet Selangor membolehkan penerima mengulang kaji pelajaran dengan mudah tanpa kekangan jaringan komunikasi.

“Kerajaan Negeri peruntuk lebih 30,000 kad modul pengenalan pelanggan (SIM) percuma selama 12 bulan kepada pelajar dan semua sudah selesai diagih serta didaftarkan.

“Selama setahun ini, mereka boleh langgan internet percuma. Kita akan lihat proses ini dan sekiranya baik, program akan diteruskan dan tambah baik pada masa depan,” katanya.

Terdahulu beliau merasmikan Jelajah Selangor Penyayang bertema Pendidikan Holistik, Generasi Muda Dinamak di Padang Awam Batu Caves, Gombak hari ini.

Pada 4 Ogos tahun lalu, Amirudin mengumumkan seramai 70,000 rakyat negeri ini bakal menikmati kad SIM dan data internet percuma selama 12 bulan dengan peruntukan RM17.5 juta.

Program menyasar pelajar Program Tuisyen Rakyat Selangor, peminjam Yayasan Selangor, mahasiswa Universiti Selangor dan Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor.

Turut menerima manfaat ialah pelajar Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Negeri Selangor, peniaga dalam talian bawah e-Bazar Selangor, petani dan ibu tunggal.


Pengarang :