Pemain perseorangan wanita negara, Siti Nurshuhani Azman beraksi menentang Lee Se Yeon dari Korea Selatan pada Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2022 di Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam pada 19 Februari 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

James Chua mahu enam bulan, tekad tingkat prestasi pemain

KUALA LUMPUR, 19 JULAI: Sekurang-kurangnya empat hingga enam bulan diperlukan jurulatih baharu perseorangan wanita negara James Chua untuk menambah baik prestasi lapan pemain kebangsaan bawah jagaannya.

Jurulatih berusia 43 tahun itu yang mula bertugas semalam, berkata beliau akan menumpukan kepada pengukuhan aspek taktikal terlebih dahulu sebelum aspek fizikal, kerana percaya para pemainnya yang pernah dilatih Pengarah Pembangunan Remaja Datuk Misbun Sidek sudah mempunyai kekuatan fizikal tersendiri.

“Saya sudah berbincang dengan Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Wong Choong Hann dan dia setuju dengan program yang saya mahu lakukan terarah lebih kepada taktikal.

“Namun, tidak boleh paksa kerana segelintir mereka mengalami kecederaan dan memerlukan masa untuk baik,” katanya ketika ditemui pemberita di Akademi Badminton Malaysia (ABM) di Bukit Kiara, di sini, hari ini.

Beliau bagaimanapun berkata agak sukar untuk menetapkan sebarang sasaran setakat ini, namun optimis mampu menentukan pemain yang akan diberikan perhatian penuh dalam usaha melonjakkan ranking pemain perseorangan wanita negara.

Dalam pada itu, James percaya pemain perseorangan wanita negara S. Kisona mampu diangkat menjadi idola bagi pemain muda di Malaysia.

Pemain perseorangan wanita negara S Kisona beraksi ketika menentang pemain dari Jepun Jeon Hyeok Jin pada Kejohanan Badminton Berpasukan Asia Selangor 2022 di Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam pada 15 Februari 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Saya berpendapat Kisona agak bagus tetapi beliau mengalami kecederaan sebelum ini dan baru sahaja pulih, jadi sekarang beliau di Taiwan untuk kejohanan pertamanya selepas kecederaan… Saya percaya pemain muda boleh cuba mengejar standardnya dan perseorangan wanita juga akan meningkatkan prestasi mereka,” katanya.

Menurutnya, Kisona mempunyai kekuatan tangan yang baik namun masih perlu memperbaiki kekuatan bahagian bawah badan dan sekiranya beliau boleh mengatasi masalah berkenaan, pemain ranking ke-54 dunia itu tiada masalah dalam memberi saingan sengit kepada pencabar dari negara lain. – BERNAMA


Pengarang :