Pengunjung hadir memeriahkan karnival Jelajah Selangor Penyayang bermula jam 8 pagi hingga 6 petang di Padang Awam Batu Caves, Gombak pada 31 Julai 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Jelajah Selangor Penyayang di Gombak, lebih 8,000 pengunjung hadir

GOMBAK, 31 JULAI : Lebih 8,000 pengunjung hadir memeriahkan karnival Jelajah Selangor Penyayang di Gombak bermula jam 8 pagi hingga 6 petang ini.

Program jelajah kali kelima anjuran Kerajaan Negeri itu diadakan di Padang Awam Batu Caves dan dirasmikan oleh Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

Program turut diserikan dengan persembahan artis, pertandingan gusti lengan, futsal, sukan rakyat, permainan dalam talian Mobile Legends, pameran dan jualan makanan.

Artis yang akan mempersembahkan beberapa lagu tengah hari ini adalah Shafie dari kumpulan Rio, Wom dari UG14, Aan (Ways), Ejay (Samudera) dan Aweera.

Jelajah yang disusun semula dari Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) dijayakan menerusi peruntukan RM350 juta supaya lebih ramai penduduk memperoleh manfaat disediakan Kerajaan Negeri.

Turut dilaksana, program Selangor Saring untuk mengesan penyakit kronik dengan perbelanjaan RM1.5 juta yang memanfaatkan 5,000 orang terutama golongan berisiko.

Sebelum ini, acara sama berlangsung di Taman Kosas Ampang Jaya, Dataran Pantai Morib Kuala Langat Stadium Utama Kuala Selangor dan Dataran Boulevard Laman Majlis Bandaraya Petaling Jaya.


Pengarang :