Orang ramai meninjau gerai pameran sempena program Jelajah Usahawan Digital Selangor Siri 3 anjuran Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor di Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya pada 16 Julai 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Jelajah usahawan digital berkunjung ke Kuala Selangor Ogos ini

PETALING JAYA, 16 JULAI: Jelajah Usahawan Digital Selangor bakal menemui peniaga di sekitar daerah Kuala Selangor pada Ogos depan.

Wakil rakyat Bukit Melawati, Juwairiya Zulkifli berkata penganjuran jelajah itu bertujuan memberi pendedahan kepada peniaga di kawasan luar bandar mengenai perniagaan dalam talian.

“Kita mahu peniaga luar bandar turut menerima manfaatnya dan mengubah pendekatan perniagaan sekali gus tidak ketinggalan dengan peredaran masa.

“Oleh itu, usahawan luar bandar diminta jangan melepaskan peluang yang diberikan secara percuma ini tidak kira industri kecil dan sederhana, ibu tunggal atau peniaga di rumah,” katanya.

Beliau ditemui selepas merasmikan program Jelajah Usahawan Digital Selangor Siri 3 anjuran Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec) di Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Petaling Jaya hari ini.

Tambah Juwairiya, selain jelajah usahawan, antara pendekatan lain bagi membantu golongan terbabit adalah mendaftarkan mereka yang berminat mengikuti kursus pensijilan halal.

“Selain mendedahkan peniaga mengenai era digitalisasi, kita juga menggalakkan peniaga, usahawan produk makanan mendapatkan sijil halal supaya kualiti dan mutu produk boleh dipertingkatkan,” katanya.

Jelajah Usahawan Digital Selangor 2022 siri satu bermula di Gombak Mac lalu dan disertai sembilan rakan kerja iaitu PG Mall, EasyStore, Dropee, Lazada, J&T, Yayasan Hijrah Selangor, SELDEC, SSM dan Shopee.


Pengarang :