Johan Qariah Sofiyah Mousin (kanan) bersama Johan Qari Aiman Ridhwan Mohamad (kiri) pada Majlis Perasmian Penutupan dan Pengurniaan Hadiah Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan 2022 di Dewan Besar Pusat Islam Iskandar pada 17 Jun 2022. Foto BERNAMA
BERITA UTAMAPERSONALITIRENCANA

Johan qariah kebangsaan berlatih taranum dalam kereta

Sofizah Mousin, 33, sama sekali tidak menyangka kegemaran bertaranum semasa memandu ulang-alik ke tempat kerja menjadikan bacaan al-Quran hampir sempurna mengikut hukum tajwid.

Berkat kebiasaannya itulah, wakil Selangor pada pertandingan tilawah al-Quran peringkat kebangsaan menang selepas juri terpikat dengan kelunakan dan ketenangannya melagukan bacaan.

Dalam pertandingan pada 17 Jun di Dewan Besar Pusat Islam Iskandar Johor, Sofizah meraih wang tunai RM15,000 dan tambahan RM10,000 untuk menunaikan haji, cenderamata dan sijil penyertaan.

Ibu kepada anak perempuan berusia empat dan satu tahun berkenaan sebenarnya menggalas tanggungjawab besar mendidik anak bangsa. Guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Sea, Petaling Jaya itu berulang dari rumahnya di Subang Bestari untuk mengajar.

Beliau tidak pernah menjadikan karier dan tugas ibu sebagai penghalang untuk berlatih al-Quran.

Kawasan kediaman dan tempat kerjanya memang sering mengalami kesesakan lalu lintas, membolehkan pengajar mata pelajaran Geografi berkenaan ada waktu terluang bertaranum dalam kereta. Sambil-sambil mendengar alunan qari menerusi radio kereta, beliau turut bertaranum. Pantang tersangkut lalu lintas sesak dan waktu senggang, saat itulah dia akan berlatih.

“Biasanya saya betul-betul lapang waktu memandu pergi dan balik dari rumah ke sekolah.

“Pada ketika itulah saya manfaatkan sepenuhnya, jika tidak, pasti saya kurang masa untuk berlatih,” katanya ketika ditemu bual sempena sambutan Maal Hijrah.

Cinta anak kelahiran Sabah ini terhadap al-Qur-an sangat mendalam. Berputik sejak berusia 13 tahun lagi. Waktu itu beliau teruja ketika al-Quran dibaca dengan lenggok seolah-olah menyanyi.

Sangat merdu. Terbit rasa tenang. Saat itu, Sofizah mula berjinak dalam dunia taranum al-Quran, niatnya bukan hendak masuk pertandingan. Semata-mata untuk belajar.

Johan Qariah Sofiyah Mousin (dua, kanan) bergambar bersama suaminya Ahmad Asrol Saidi (kiri), 36, serta anaknya Orked Nur Mikayla (dua, kiri), 4, dan Iris Nur Marissa (kanan), 1, selepas Majlis Perasmian Penutupan dan Pengurniaan Hadiah Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan 2022 di Dewan Besar Pusat Islam Iskandar pada 17 Jun 2022. Foto BERNAMA

Belajar sendiri

TV1 menjadi stesen televisyen kegemarannya kerana tilawah seringkali disiarkan. Menariknya, anak bongsu daripada sembilan beradik ini mengakui tiada seorang ahli keluarganya pernah menyertai tilawah.

“Ya memang saya seorang saja begini, saya tidak terpengaruh dengan siapa-siapa. Semuanya datang sendiri,” kata Sofizah.

Atas nasihat guru dan dorongan ahli keluarga, beliau menyertai tilawah al-Quran ketika berusia 15 tahun. Siapa sangka, pelajar SMK Agama Inanam Sabah itu mara ke peringkat kebangsaan.

Biarpun tidak bergelar juara, Sofizah terus kekal belajar lenggok mengaji al-Quran. Wang kemenangan digunakan untuk membeli kaset al-Quran.

“Pada waktu itu, di Sabah bukan senang nak cari guru yang betul-betul khusus dalam bidang taranum. Saya pula datang dari keluarga sederhana sahaja, takkanlah nak upah guru yang mahal. Jadi semuanya belajar sendiri sahaja,” katanya.

Minatnya tidak pernah terhenti walaupun sudah menuntut di Universiti Malaysia Sabah. Wanita kecil molek itu juga pernah muncul juara tilawah antara universiti peringkat Asia Tenggara.

Bukan kemenangan semata mahu dikejarnya. tetapi dakwah ketika membaca kalam Allah itu. Terbukti apabila ramai kawan-kawan sekelilingnya turut berminat mendalami caranya membaca setelah mendengar Sofizah mengalunkan ayat al-Quran.

“Alhamdulillah, ada yang minta saya ajar pun. Dengan membaca pun sudah dapat pahala. Apatah lagi bila kita ada usaha untuk mendalami dan belajar,” ujar bekas penuntut jurusan pendidikan itu.

Isteri kepada Ahmad Asrol Saidi ini sedang bersiap sedia menghadapi Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa yang bakal berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) Oktober depan.

Walau pernah menyertai tilawah peringkat kebangsaan pada 2013 dan 2014, namun rasa gentar masih ada. Namun, hatinya berazam untuk beroleh gelaran juara pada pertandingan itu.

“Tetapi jauh sudut hati saya langsung tidak kisah sama ada menang atau kalah. Cinta saya pada dunia al-Quran dan taranum sangat dalam.

“Jika serabut, saya buka dan baca kalimah-kalimah Allah ini. Terus hilang semua masalah. Sekelip mata saja,” katanya lagi.


Pengarang :