Orang ramai membeli barang keperluan harian pada program Jualan Prihatin Rakyat di Jalan Pandan 8, Pandan Jaya pada 12 Mac 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Jualan ayam, daging dan ikan murah sempena jelajah bantuan rakyat esok

SHAH ALAM, 1 JULAI: Program jualan murah barangan keperluan harian diadakan sempena Jelajah Selangor Penyayang di Stadium Utama, Kuala Selangor esok.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata inisiatif itu membantu rakyat setempat membeli barangan lebih murah berbanding harga semasa di pasaran.

“Minggu ini, Program Intervensi Ehsan akan menjelajah ke Stadium Utama Kuala Selangor sempena Jelajah Selangor Penyayang.

“Selangor akan menjual barangan keperluan dapur lebih murah daripada harga semasa pasaran untuk dibeli rakyat setempat,” katanya menerusi Facebook.

Program anjuran Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) dengan kerjasama Agro Selangor menjual ayam potong 800 gram (RM10), ayam potong dua kilogram (RM25), ayam seekor (RM15) dan telur  gred B sepapan (RM12).

Turut dijual tulang lembu dan daging segar dengan harga RM32 sekilogram serta ikan kembung dan selayang RM8 sekilogram.

Pada 19 Mei lalu, Amirudin memaklumkan Program Intervensi Ehsan berjaya memanfaatkan seramai 60,000 keluarga sejak dilaksana Disember lalu di lebih 50 lokasi di negeri ini.

Inisiatif berkonsepkan Jualan Prihatin Rakyat bertujuan meringankan beban dan memberi peluang kepada rakyat mendapatkan bekalan makanan segar seperti ayam, ikan, daging, telur serta sayur-sayuran secukupnya.


Pengarang :