Orang ramai menyerbu jualan murah barangan asas anjuran Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) sempena Aidiladha di Jalan Kantan 2, Bukit Beruntung, Hulu Selangor pada 6 Julai 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Jualan murah: 1,700 paket minyak masak, 350 papan telur habis dalam sejam

HULU SELANGOR, 6 JULAI: Bekalan 1,700 paket minyak masak dan 350 papan telur gred B di jualan murah sempena Aidiladha di Bukit Beruntung hari ini habis terjual dalam tempoh sejam.

Pengurus kanan pemasaran Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) berkata kedua-dua barangan asas yang ditawarkan lebih murah berbanding pasaran diserbu lebih 300 pengunjung terawal.

“Sambutan di sini amat menggalakkan kerana dalam tempoh sejam pertama sahaja lebih 300 orang hadir untuk membeli,” kata Mohd Fazir Abdul Latif ketika ditemui di Jualan Karnival Ehsan bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Kali di sini.

“Jualan ayam juga menggalakkan dengan 1,300 ekor terjual dalam masa dua jam dan kita yakin baki 700 ekor lagi akan habis berdasarkan kehadiran pengunjung yang tidak putus-putus ini.”

PKPS menganjurkan jualan murah barangan asas sempena Aidiladha empat hari berturut-berturut di lima lokasi mulai semalam.

Karnival diteruskan di Dataran Batu Laut, Tanjung Sepat, esok manakala dua lagi lokasi iaitu Jalan GP2, Taman Gombak Permai dan belakang Blok D dan E, Pangsapuri Inai, Pandan Indah berlangsung seretak pada 8 Julai.

Produk ditawarkan ialah ayam (RM15 seekor), telur ayam gred B (RM12 sepapan), minyak masak (RM2 sepaket), daging pejal (RM35 sekilogram) dan ikan sejuk beku (RM8 sepaket).


Pengarang :