SHAH ALAM, 7 JULAI : Jualan murah anjuran Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) sempena Aidiladha di Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Kali semalam mencatatkan nilai jualan lebih RM36,000.
Penyelarasnya Saifuddin Shafi Muhammad berkata jumlah berkenaan diperoleh sepanjang empat jam program yang berlangsung sejak jam 9 pagi.

“Terima kasih kepada lebih 700 pengunjung yang hadir ke karnival jualan anjuran PKPS dan pusat khidmat DUN.
“InsyaAllah selepas ini Batang Kali akan menjadi destinasi pilihan PKPS dalam program membantu rakyat terutama ketika kenaikan harga barang,” katanya di Facebook.
PKPS menganjurkan jualan murah barangan asas berkenaan selama empat hari berturut-berturut di lima lokasi sejak 5 Julai.
Hari ini, jualan murah sama berlangsung di Dataran Batu Laut, Tanjung Sepat, manakala dua lagi lokasi iaitu Jalan GP2, Taman Gombak Permai dan belakang Blok D dan E, Pangsapuri Inai, Pandan Indah berlangsung serentak pada 8 Julai.
Produk utama ditawarkan ialah ayam (RM15 seekor), telur ayam gred B (RM12 sepapan), minyak masak (RM2 sepaket), daging pejal (RM35 sekilogram) dan ikan sejuk beku (RM8 sepaket).