Orang ramai membeli pelbagai barangan keperluan dalam program Jualan Prihatin Rakyat DUN Sungai Tua di Taman Gombak Permai, Gombak pada 13 Mac 2022. Foto REMY ARIFIN SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Jualan murah diteruskan hingga akhir tahun, lokasi sedang dikenal pasti

GOMBAK, 8 JULAI: Karnival Jualan Prihatin anjuran Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) akan diteruskan hingga hujung tahun ini.

Pengurus Pemasarannya Md Saad Mahsah berkata program jualan mungkin diadakan lebih kerap tetapi dalam skala yang lebih kecil.

Katanya, ia bagi memberi peluang kepada orang ramai mendapatkan barangan asas pada harga yang lebih murah.

“Macam hari ini kita mengadakan jualan secara mega memandangkan lusa (Ahad) umat Islam bakal menyambut perayaan Aidiladha. Namun, yang membezakannya kali ini barangan asas yang dibawa lebih banyak berbanding biasa.

“Seterusnya kita akan lebih kerap mengadakan (jualan) di beberapa lokasi sedang dikenal pasti bagi meringankan beban rakyat di negeri ini ketika harga barang semakin meningkat,” katanya ketika ditemui Selangorkini.

Sejak Disember tahun lalu, PKPS menjalankan program jualan murah barangan asas di 64 lokasi seluruh negeri bagi mengurangkan beban rakyat susulan kenaikan harga barang.

Selain telur dan ayam, produk lain yang dijual termasuk daging pejal segar berharga RM35 per kilogram, ikan kembung atau selayang (RM8 per pek) dan minyak masak.

Pada 19 Mei lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan program tersebut berjaya memanfaatkan seramai 60,000 keluarga di negeri ini.


Pengarang :