Orang ramai menyerbu jualan murah barangan asas sempena Aidiladha anjuran Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor di tapak bazar Ramadan Taman Perwira, Sijangkang, Kuala Langat pada 5 Julai 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Jualan murah empat hari sempena Aidiladha catat nilai jualan RM230,000

SHAH ALAM, 14 JULAI: Sebanyak RM230,000 nilai jualan dicatatkan sepanjang empat hari Karnival Jualan Ehsan sempena Aidiladha minggu lalu.

Ketua pegawai eksekutif Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) berkata jumlah itu membuktikan inisiatif Kerajaan Negeri meringankan beban penduduk mendapat sambutan.

“Sambutan penduduk memberangsangkan. Hari pertama kita rekodkan nilai jualan sebanyak RM52,000. Diikuti RM56,000 pada hari kedua dan RM46,000 pada hari ketiga.

“Pada hari terakhir, jualan murah diadakan di dua lokasi dengan nilai jualan RM76,000. Tempoh jualan di setiap tempat juga mengambil masa singkat sekitar tiga hingga empat jam,” kata Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi.

Orang ramai mula beratur sejak jam 7.30 pagi sempena Jualan Karnival Ehsan anjuran Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) di tapak bazar Ramadan Taman Perwira Sijangkang, Kuala Langat pada 5 Julai 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Sebelum ini, program jualan murah sempena Aidiladha berlangsung di Sijangkang diikuti Bukit Beruntung, Tanjung Sepat, Gombak dan Pandan pada 5 hingga 8 Julai.

Karnival anjuran PKPS itu menawarkan ayam serendah RM15 seekor, telur ayam gred B (RM12 sepapan), minyak masak (RM2 sepaket), daging pejal segar (RM35 sekilogram) dan ikan sejuk beku (RM8 sepaket).

Beras, beras pulut, ketupat mini, tepung, minyak masak botol dan gula turut dijual pada harga yang lebih rendah dari pasaran.


Pengarang :