Orang ramai membeli barang keperluan asas murah dalam Karnival Jualan Mega Prihatin sempena Aidilfitri anjuran PKPS di Kampung Pandan, Ampang Jaya pada 30 April 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Jualan murah sempena Aidiladha di lima lokasi mulai 5 Julai

SHAH ALAM, 1 JULAI: Karnival Jualan Ehsan sempena Aidiladha bermula Selasa hingga Jumaat depan di lima lokasi bagi memudahkan penduduk mendapat barangan asas dengan harga murah.

Ketua pegawai eksekutif Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) berkata harga ayam dijual RM15 seekor, telur ayam gred B (RM12 sepapan), minyak masak (RM2 sepeket), daging pejal segar (RM35 sekilogram) dan ikan sejuk beku (RM8 sepeket).

Jelas Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi, karnival selama empat hari bermula 9 pagi hingga 2 petang itu turut menjual beras, beras pulut, ketupat mini, tepung, minyak masak botol dan gula.

“Setiap lokasi menyediakan 2,000 ekor ayam; 1,000 papan telur ayam gred B; 1,700 peket minyak masak; 1,000 kg daging segar dan 100 peket ikan sejuk beku.

“Pembelian adalah terhad dan ditetapkan secara runcit. Hanya dua unit untuk setiap barang dibenarkan kepada seorang pembeli,” katanya menerusi kenyataan.

Mohamad Khairil berkata inisiatif itu bagi membantu penduduk mendapat barangan segar selain mengurangkan beban kenaikan kos makanan menjelang hari raya.

“Karnival ini sebahagian Program Intervensi Ehsan yang berjalan sejak awal tahun melibatkan kerjasama dengan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan, Kohijrah Selangor dan Permodalan Negeri Selangor Berhad,” katanya.

Jadual karnival jualan seperti berikut:

  • Taman Perwira, Sijangkang (5 Julai).
  • Berhadapan Petron Seksyen BB8, Jalan Kantan 2, Bukit Beruntung (6 Julai).
  • Dataran Batu Laut, Tanjung Sepat (7 Julai).
  • Jalan GP2, Taman Gombak Permai, Gombak (8 Julai)
  • Belakang Blok D dan E, Pangsapuri Inai, Pandan Indah, Pandan (8 Julai).


Pengarang :