EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han menjawab soalan dikemukakan wakil rakyat dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) di Bangunan Annex, Shah Alam pada 29 Julai 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI  
PBT SELANGOR

Jumlah penduduk, kutip hasil sikit faktor Sabak Bernam berstatus majlis daerah

SHAH ALAM, 29 JULAI: Jumlah penduduk kurang 150,000 orang dan kutipan hasil minima adalah faktor Sabak Bernam satu-satunya pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini masih berstatus majlis daerah.

EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han berkata berdasarkan pekeliling ketua setiausaha kementerian perumahan dan kerajaan tempatan terdapat kriteria baharu bagi menaik taraf pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Antara kriteria baharu naik taraf PBT adalah jumlah penduduk dan jumlah hasil tahunan PBT. Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) mempunyai seramai 132,000 orang berbanding kriteria minimum perbandaran seramai 150,000 orang.

“Selain itu, kutipan hasil tahunan MDSB masih rendah berbanding kriteria minimum perbandaran sebanyak RM20 juta,” katanya pada sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), hari ini.

Beliau menjawab soalan wakil rakyat Sabak,Ahmad Mustain Othman yang bertanya mengapa Sabak Bernam satu-satunya daerah masih berstatus majlis daerah dan perancangan menaik taraf kepada perbandaran.

Sze Han berkata antara perancangan untuk melayakkan Sabak Bernam menukar status kepada perbandaran ialah dengan membuka peluang kepada pelabur luar dengan projek berskala besar serta memperbanyak projek perumahan, komersial dan industri.


Pengarang :