Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menyampaikan titah Diraja pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Penggal Keempat, Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen pada 13 September 2021. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Kabinet lulus draf RUU larang ahli parlimen tukar parti

KUALA LUMPUR, 14 JULAI: Kabinet telah meluluskan draf Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 dan Mengenai Peruntukan Larangan Ahli Dewan Rakyat Bertukar Parti yang dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat, pada Isnin ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata pembentangan dan perbahasan RUU itu akan diteruskan dalam sesi Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Parlimen Ke-14 mengikut garis masa seperti dirancang.

“Pemakluman mengenai draf Rang Undang-Undang ini dalam mesyuarat Jemaah Menteri semalam (13 Julai) berjalan lancar melalui suatu Nota Jemaah Menteri dan tiada persoalan dibangkitkan serta Nota itu dipersetujui sebulat suara oleh Jemaah Menteri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata surat rasmi telah dikemukakan kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Azhar Azizan Harun bagi mendapatkan kelulusan untuk RUU itu dan draf penyata (laporan) Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen berkaitan peruntukan larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti dibentangkan di meja Ahli Dewan Rakyat pada 18 Julai ini sebagai rujukan dan penelitian awal.

Katanya ini dibuat selaras Peraturan Mesyuarat 60 Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

Beliau turut mengulangi komitmen kerajaan untuk bacaan kali kedua draf RUU itu diadakan pada 27 dan 28 Julai, tertakluk kepada budi bicara Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Wan Junaidi turut memaklumkan Jawatankuasa Pilihan Khas Menimbang Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 dan Mengenai Peruntukan Larangan Ahli Dewan Rakyat Bertukar Parti telah memuktamadkan pindaan kecil dalam draf penyata pada Selasa (12 Julai) dan mengesahkan draf penyata berkenaan.

-BERNAMA

 


Pengarang :