Kerja-kerja pengalihan dan penyambungan paip baharu berdekatan kilang Carlsberg di Persiaran Selangor Seksyen 15, Shah Alam. Foto Facebook Air Selangor
AGENDANASIONAL

Kadar purata air tidak berhasil dijangka turun 25 peratus menjelang 2025

SHAH ALAM, 27 JULAI: Kadar purata air tidak berhasil (NRW) di Selangor dijangka turun 25 peratus menjelang 2025 berbanding 27.93 peratus ketika ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata unjuran itu mengambil kira paip sepanjang 556.14 kilometer(km) daripada 30,008km berjaya ditukar setakat 31 Disember tahun lalu.

“Selangor mempunyai kadar penggunaan air dan per kapita tertinggi dalam negara iaitu sebanyak 230 liter per kapita sehari, 45 peratus lebih daripada saranan penggunaan air Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) iaitu 165 liter per kapita sehari.

“Bagaimanapun lebih daripada 90 peratus sumber air mentah Selangor diambil daripada sungai dengan 62 peratus memerlukan rawatan lanjut sebelum ia boleh digunakan sebagai bekalan air,” katanya ketika membentangkan Rancangan Selangor Pertama (RS-1) di Dewan Negeri Selangor.

Pada 30 Jun lalu, Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) memaklumkan 27.93 peratus NRW direkodkan pada 2021 mengatasi sasaran ditetapkan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Selangor iaitu 28 peratus.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Suhaimi Kamaralzaman berkata jumlah itu bersamaan penjimatan air sebanyak 192.5 juta liter sehari sekali gus mengoptimumkan kos operasi selain menjamin kecekapan sumber.

Untuk rekod, NRW dicatat pada 2020 ialah 28.6 peratus berbanding 29.7 peratus pada tahun sebelumnya.


Pengarang :