Lebuhraya Persekutuan dipenuhi kenderaan pada kedua arah pada sebelah petang di waktu pengguna lebuh raya itu pulang ke rumah selepas tamat waktu bekerja pada 5 Mei 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDAPENDAPATRENCANA

Kajian: Jumlah kenderaan bertambah 45 peratus antara punca bahang di bandar

Oleh Mohd Afiq Zulkifli

KUALA LUMPUR, 8 JULAI: Peningkatan jumlah penggunaan kenderaan di ibu negara yang mendadak akhir-akhir ini dikhuatiri menyumbang kepada fenomena pulau haba bandar (PHB) iaitu suhu di bandar lebih panas berbanding di kawasan pinggiran disebabkan pelepasan asap kenderaan bermotor yang semakin tinggi memasuki pusat bandar.

Pengarah Pusat Perancangan dan Pembangunan Inovatif, Universiti Teknologi Malaysia Profesor Dr Muhammad Zaly Shah Muhammad Hussein berkata fenomena itu disokong pula dengan faktor bangunan konkrit yang dibina rapat dan permukaan jalan berturap yang memantulkan haba hingga membentuk seakan-akan pulau yang memerangkap haba di kawasan berkenaan.

“Ada kajian yang dilakukan di daerah pusat perniagaan (CBD) Bukit Bintang, apabila kenderaan bersesak di jalan raya yang sekelilingnya dipenuhi dengan bangunan tinggi, asap yang dibebaskan tidak dapat dilepaskan ke udara, ia terperangkap yang mewujudkan bahang yang lebih panas.

“Situasi berkenaan boleh menjejaskan aktiviti penduduk di bandar dengan kos utiliti yang lebih tinggi selain meningkatkan penggunaan tenaga di dalam bangunan untuk menyejukkan keadaan sekali gus menambah kandungan gas rumah hijau,” katanya kepada Bernama.

Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Jalaluddin Alias baru-baru ini dilaporkan berkata jumlah penggunaan kenderaan di ibu negara bertambah dengan mendadak sehingga mencatatkan peningkatan 45 peratus iaitu 46.76 juta kenderaan sebulan pada Disember 2021 berbanding Disember 2019 sebanyak 26.51 juta.

Muhammad Zaly Shah berkata kebarangkalian fenomena PHB untuk berlaku sangat tinggi apabila cuaca panas dan kering dengan suhu meningkat antara satu hingga dua darjah Celsius berbanding dengan suhu normal.

Beliau berkata kualiti udara adalah lebih baik ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan kerana pengurangan isi padu kenderaan yang memasuki Kuala Lumpur namun situasi itu kembali buruk selepas pelaksanaannya ditarik balik.

“Secara perbandingan, pada 18 Mac 2020 (semasa PKP) Indeks Kualiti Udara (AQI) di Kuala Lumpur ialah 50 mata, tetapi pada 1 Mei tahun ini ialah 72 mata. Semakin tinggi nilai AQI, semakin rendah kualiti udara,” katanya.

Sementara itu, Peneraju Kluster Sumber Lestari, Alam Sekitar dan Kehidupan Pintar, Pusat IDEA Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Dr Mohd Talib Latif berkata jumlah kenderaan adalah berkadar terus dengan pencemaran, semakin bertambah kenderaan, semakin tinggi pencemaran udara, bunyi dan gegaran.

Beliau berkata gas dan partikel halus yang dibebaskan kenderaan seperti gas karbon monoksida, sulfur dioksida, nitrogen dioksida dan ‘Particulate Matter 2.5’ mempunyai kepekatannya yang agak tinggi apabila berada di jalan raya yang sesak.

“Walaupun bahan pencemar udara tidak semestinya mendatangkan bahaya kepada sistem pernafasan manusia secara serta-merta, tapi ia boleh memberi kesan kesihatan untuk tempoh jangka masa panjang selain menyumbang kepada kesan perubahan iklim dan pemanasan global melalui pembebasan gas rumah hijau seperti karbon dioksida,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :