Ketua Polis Daerah Ampang Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Kanak-kanak empat tahun maut terjatuh dari tingkat 35 kondominium

KUALA LUMPUR, 19 JULAI: Seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun maut selepas terjatuh dari tingkat 35 sebuah kondominium di Jalan Perdana 3/10 Pandan Perdana dekat sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian daripada pengawal keselamatan di kondominium tersebut pada 2.20 petang.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kanak-kanak yang merupakan warga asing itu dibawa ibunya yang bekerja sebagai pembantu rumah sambilan ke sebuah unit di kondominium terbabit untuk mengambil upah membasuh dan melipat baju.

“Mangsa yang merupakan anak bongsu daripada tiga adik beradik itu ditinggalkan seorang diri oleh ibunya berusia 36 tahun di ruang tamu rumah kerana sedang tidur sebelum wanita itu turun untuk membasuh pakaian di (kedai) dobi di bawah rumah.

“Kanak-kanak itu dipercayai telah bangun daripada tidur dan membuka pintu gelongsor sebelum memanjat kerusi yang berada di balkoni,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohamad Farouk berkata ketika kejadian bapa kanak-kanak itu sedang bekerja di Petaling Jaya dan semakan mendapati ibu bapa mangsa tinggal di negara ini sejak lima tahun lepas.

Katanya, mayat kanak-kanak itu dihantar ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) untuk bedah siasat dan setakat ini tiada tangkapan dibuat serta siasatan masih dijalankan mengikut Seksyen 31 (1) Akta Kanak-Kanak 2001 iaitu pengabaian terhadap kanak-kanak.

– BERNAMA


Pengarang :