Kapal persiaran Royal Caribbean, Spectrum of the Sea dari Singapura yang membawa lebih 4,500 penumpang berlabuh di Terminal Pelayaran Pelabuhan Klang pada 1 Julai. Foto Facebook Tourism Selangor
AGENSISELANGOR

Kapal persiaran berlabuh di Pelabuhan Klang, pertama kali sejak pandemik

SHAH ALAM, 1 JULAI: Terminal Pelayaran Pelabuhan Klang kembali meriah selepas menerima kapal persiaran yang membawa lebih 4,500 penumpang dari Singapura sekitar jam 7 pagi tadi.

Ketua pegawai eksekutif Tourism Selangor berkata penumpang kapal Royal Caribbean, Spectrum of the Sea yang berlabuh sehingga jam 5 petang disambut dengan pelbagai acara menarik.

Azrul Shah Mohamad berkata mereka disajikan dengan persembahan kebudayaan, aktiviti mencanting batik serta demonstrasi kraftangan oleh Orang Asli Mah Meri.

“Sebahagian penumpang turut dibawa melawat beberapa lokasi pelancongan di Klang, Shah Alam, Kuala Langat serta Kuala Lumpur.

“Dengan kemasukan kembali kapal persiaran antarabangsa ke Selangor hari ini, ia memberi dampak positif kepada peningkatan ekonomi dan bakal memacu perkembangan industri pelancongan negeri,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Penumpang kapal Royal Caribbean, Spectrum of the Sea dari Singapura yang tiba di Terminal Pelayaran Pelabuhan Klang, pada 1 Julai disambut dengan persembahan kebudayaan Foto Facebook Tourism Selangor

SuperStar Aquarius yang membawa 1,500 penumpang merupakan kapal persiaran terakhir yang singgah di Selangor pada Mac 2020.

Sementara itu, Azrul Shah memaklumkan pihaknya bakal menganjurkan Selangor Cruise Festival 2022 pada 29 dan 30 Oktober bagi mempromosikn pelancongan pelayaran.

“Antara pengisian program seperti pelancaran kaunter informasi pelancongan, persembahan kebudayaan, demonstrasi kraftangan dan acara sukan berbasikal.

“Diharap progam ini menjadi antara medium utama dalam memasarkan lagi produk pelancongan Selangor ke peringkat antarabangsa,” katanya.


Pengarang :