EXCO Pemberdayaan Pekerja V Ganabathirau menjawab soalan pada Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor di Bangunan Annex SUK, Shah Alam pada 26 Julai 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Karnival mega, RiDE bantu atasi isu kurang tenaga kerja 

SHAH ALAM, 26 JULAI: Selangor menyediakan pelbagai program bagi membantu penduduk negeri ini mendapat pekerjaan bersesuaian sekali gus mengatasi kekurangan tenaga kerja.

Program meliputi Karnival Kerjaya Mega Selangor, Selangor Kerjaya, Inisiatif Roda Darul Ehsan (RiDE), Jelajah Jobcare dan Gig Care-1000, maklum EXCO pemberdayaan.

Menurut V Ganabatirau, inisiatif lain oleh Kerajaan Negeri termasuk Jaminan Kerja Selangor, Penempatan Pekerjaan Kerja Selangor, Perantisan dan Penempatan Pekerjaan.

“Penganjuran program ini merupakan satu medium yang proaktif untuk membuka lebih banyak ruang dan peluang dalam membantu syarikat atau industri yang memerlukan tenaga kerja,” katanya.

Beliau menjawab soalan wakil rakyat Rawang Chua Wei Kiat berhubung usaha negeri menyelesaikan isu kekurangan tenaga kerja dalam pelbagai sektor pada sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Sementara itu, Ganabatirau berkata hampir 2,000 calon yang menghadiri temu duga menerusi Karnival Kerjaya Mega Selangor pada Jun lalu diterima bekerja manakala 3,601 dipanggil kali kedua.

“Belia yang mencari peluang pekerjaan boleh menyemak kekosongan jawatan yang ditawarkan oleh majikan dengan mendaftar secara langsung menerusi www.selangorjobportal.com.my,” katanya.

Karnival Kerjaya Mega Selangor kali kedua untuk tahun ini akan diteruskan pada September di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (Maeps), Serdang dengan menawarkan sebanyak mungkin peluang pekerjaan.


Pengarang :