Orang ramai menghadiri Karnival Kerjaya Mega 2022 di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada 11 Jun 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Karnival mega tawar kerja bidang hotel, diteruskan September

SHAH ALAM, 21 JULAI: Karnival Kerjaya Mega Selangor kali kedua untuk tahun ini akan diteruskan pada September dengan menawarkan sebanyak mungkin peluang pekerjaan.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata lebih 200 syarikat bakal menyertai program yang menawarkan peluang dalam sektor perhotelan, industri sukan dan perkhidmatan.

“Inisiatif ini antara usaha memberi pekerjaan kepada warga negeri di samping mengurangkan kadar pengangguran,” katanya di Facebook hari ini.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan seramai 1,996 calon diterima bekerja menerusi karnival pada Jun lalu manakala 3,601 lagi dipanggil untuk temu duga kali kedua.

Siri kedua karnival tersebut akan berlangsung di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (Maeps), Serdang dan orang ramai boleh merujuk www.selangorjobportal.com.my untuk maklumat lanjut.

Karnival Kerjaya Mega 2022 kali pertama diadakan di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam pada 11 dan 12 Jun lalu yang disertai lebih 100 syarikat termasuk agensi Kerajaan Negeri.

 


Pengarang :