Pesawat Maskargo sedia membawa peralaran perubatan ke kawasan yang memerlukan. Foto MAB Kargo Sdn Bhd
AGENDAJENAYAH

Kastam tumpas cubaan seludup ketamin lebih RM13 juta di KLIA

NILAI, 14 JULAI: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menggagalkan cubaan menyeludup 245 kilogram ketamin dianggar bernilai RM13.48 juta yang disorokkan bersama pelbagai jenis kacang dalam pemeriksaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, 4 Julai lepas.

Ketua Pengarah Kastam Datuk Zazuli Johan berkata sepasukan anggota Cawangan Narkotik Ibu Pejabat JKDM telah menyita 42 kotak mengandungi 49 bungkusan plastik berisi bahan kristal disyaki ketamin dalam pemeriksaan kira-kira 11 malam di Kompleks Kargo Udara KLIA itu.

“Modus operandi sindiket ini ialah mengikrarkan barang mengandungi dadah itu sebagai Haricot Verts (kacang hijau) sedangkan di dalamnya terdapat bungkusan pelbagai jenis kacang bercampur serbuk kristal disyaki dadah berbahaya.

“Siasatan awal mendapati dagangan itu dieksport dari sebuah negara di Eropah kemudian transit di negara Timur Tengah sebelum mendarat di KLIA sebagai destinasi terakhir,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata hasil risikan mendapati pengimport memalsukan pengikraran semasa proses pengimportan sekali gus menyukarkan tangkapan dibuat ke atas pengimport dagangan tersebut.

Menurutnya, rampasan tersebut merupakan terbesar direkodkan setakat tahun ini dan dadah itu disyaki untuk pasaran tempatan.

Beliau berkata sehingga kini tiada tangkapan dilakukan dan kes sedang disiasat lanjut mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sementara itu, Zazuli berkata sejak Januari hingga kini, JKDM telah menumpaskan cubaan menyeludup pelbagai dadah seberat 1.03 tan metrik bernilai RM20.48 juta.

-BERNAMA


Pengarang :