Timbalan Ketua Cabang KEADILAN Shah Alam Najwan Halimi (lima dari kanan) bersama Timbalan Ketua AMK Muhammad Kamil Abdul Munim (empat dari kanan) membuat laporan polis berhubung kecuaian bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di Balai Polis Seksyen 9, Shah Alam pada 19 Julai 2022. FOTO MUSTAKIM RAMLI/ SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

KEADILAN Shah Alam lapor polis kecuaian Najib isu tuntutan waris Sulu

SHAH ALAM, 19 JULAI: Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) cabang Shah Alam membuat laporan polis berhubung kecuaian bekas perdana menteri hingga membawa kepada tuntutan waris Kesultanan Sulu.

Timbalan Ketua Cabangnya Najwan Halimi berkata kecuaian Datuk Seri Najib Tun Razak mengendalikan perkara itu menyebabkan negara berdepan tuntutan besar sekitar RM67.5 bilion.

“Sekiranya tidak cuai, beliau telah memastikan semua langkah diambil untuk menghalang dan menangani tindakan undang-undang susulan setelah bayaran itu dihentikan.

“Keputusan itu mencetuskan langkah balas waris Kesultanan Sulu yang memulakan tindakan saman di peringkat antarabangsa terhadap Kerajaan Malaysia,” katanya ditemui di Balai Polis Seksyen 9 di sini hari ini.

Dalam pada itu, timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) yang turut membuat laporan polis di balai sama berharap pihak berkuasa dapat menjalankan siasatan segera.

Muhammad Kamil Abdul Munim juga kecewa dengan sikap tidak acuh kerajaan apabila menolak usul dikemukakan ahli parlimen Kota Belud berhubung isu itu di Parlimen semalam.

“Jadi kita mengharapkan sesuatu dapat dilakukan polis dalam isu ini supaya tidak terjadi lagi pada masa hadapan. Rakyat berhak mengetahui apa yang sedang terjadi,” katanya.

Kempen membuat laporan polis berhubung kes itu digerakkan secara besar-besaran hari ini antaranya oleh Timbalan Presiden KEADILAN Rafizi Ramli, Ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil dan Ketua AMK Adam Adli Abd Halim.

Waris kesultanan Sulu dilaporkan merampas dua anak syarikat Petronas yang didaftarkan di Luxembourg mencecah lebih RM8.87 bilion, sebahagian daripada tindakan undang-undang dikemukakan pada 2017.

Pengarang :