Jentera Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) memasang bendera di Dewan Undangan Negeri (DUN) Semerang, Ayer Hitam sempena pilihan raya negeri Johor ketika tinjauan pada 3 Mac 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKIN
AGENDANASIONAL

KEADILAN umum tandingi semua kerusi dimenangi dalam PRU14

SHAH ALAM, 15 JULAI: Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) akan terus bertanding di semua kerusi parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenangi dalam pilihan raya umum (PRU) 2018.

Setiausaha Agungnya Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata parti itu juga akan berunding dengan rakan Pakatan Harapan (HARAPAN) untuk menambah bilangan kerusi, lapor Berita Harian.

“Ini keputusan yang dibuat dalam temu rapat parti beberapa bulan lalu,” katanya ketika merasmikan Kongres Nasional Tahunan Angkatan Muda Keadilan (AMK) di sini hari ini.

“Kita juga bersetuju berunding dengan parti sahabat HARAPAN untuk dapat kerusi tambahan bagi membolehkan kita muncul sebagai parti terbesar dan terkuat.”

Jelasnya, meskipun KEADILAN sudah mempunyai sasaran jumlah kerusi untuk ditandingi namun ia masih tertakluk persetujuan parti lain dalam gabungan itu.

“Kalau kita duduk dengan saf pembangkang, kita lihat corak dalam  terdahulu, paling busuk kita (HARAPAN) ada 68 kerusi di Semenanjung, paling tinggi 95 kerusi (boleh menang).

“Maknannya dalam PRU akan datang, tiada satu parti yang boleh menang mudah. Kita mesti menjadi parti terkuat dalam blok pembangkang,” katanya lagi.

Pada PRU 2018, KEADILAN memenangi 48 kerusi parlimen dan 73 kerusi DUN.


Pengarang :