Pemain boling wanita negara Natasha Roslan dan Sin Li Jane. Foto Facebook Bowling Malaysia
AGENDASUKANKINI

Kejohanan boling dunia: Natasha-Li Jane terlepas peluang rebut emas

KUALA LUMPUR, 11 JULAI: Pasangan beregu wanita Natasha Roslan-Sin Li Jane, kini menjadi satu-satunya harapan pingat yang tinggal untuk kem boling tenpin negara pada Kejohanan Dunia 2022 di Alabama, Amerika Syarikat.

Bagaimanapun, gandingan itu terpaksa mengatasi kekecewaan tewas pada separuh akhir apabila berdepan Juliana Franco-Clara Guerrero dari Colombia dalam penentuan pingat gangsa pagi esok.

Perlawanan itu juga akan memberi peluang kepada Li Jane untuk membalas dendam terhadap Clara, selepas tewas pada pusingan 16 terakhir perlawanan perseorangan wanita 180-226, 204-260 kepada pemain Colombia itu sebelum ini.

Natasha-Li Jane terlepas peluang untuk bertarung merebut emas selepas tewas kepada pasangan Denmark Mika Guldbaek-Mai Ginger Jensen 213-248, 215-225 pada peringkat empat terakhir di Kompleks Konvensyen Birmingham Jefferson pagi ini.

Menurut laman web Kejohanan Dunia itu, pemain Colombia itu tewas kepada tuan rumah Julia Bond-Shannon O’Keefe 225-236, 215-190, 190-216 dalam satu lagi separuh akhir.

Natasha-Li Jane memulakan kempen mereka dengan menyingkirkan Taishaye Naranjo-Pamela Perez dari Puerto Rico 234-164, 203-178 pada pusingan 16 terakhir dan mengetepikan Denise Blankenzee-Samantha Greiner dari Belanda 259-144, 194-188 pada suku akhir.

Sementara itu, dalam acara perseorangan lelaki, Muhammad Rafiq Ismail dan Timmy Tan disingkirkan oleh pemain Kanada selepas pertarungan sengit di suku akhir.

Muhammad Rafiq terlepas satu perlawanan untuk layak ke separuh akhir selepas tewas 238-215, 218-226, 191-239 menentang Graham Fach, manakala Timmy 229-243, 217-214, 183-236 kalah kepada Darren Alexander.

Perlawanan tenpin boling terbaik Malaysia di Kejohanan Dunia adalah pada edisi Lahti 1997 di Finland, dengan Sharon Low-Daniel Lim merangkul emas dalam acara beregu campuran manakala kali terakhir Malaysia memenangi pingat adalah pencapaian dua pingat gangsa di edisi Kaohsiung 2009 di Taiwan.

— BERNAMA

 

 


Pengarang :