AGENDAJENAYAH

Kelab komedi kontroversi di TTDI disimbah cat merah

KUALA LUMPUR, 20 JULAI: Crack House Comedy Club, Taman Tun Dr Ismail, di sini yang menjadi lokasi seorang wanita menanggalkan baju kurung dan tudung ketika membuat persembahan komediri, disimbah cat oleh dua lelaki pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Brickfields, ACP Amihizam Abdul Shukor berkata sebahagian cat yang dibaling oleh lelaki berkenaan turut terkena pintu utama sebuah bank tempatan berhampiran.

Katanya laporan polis telah dibuat oleh pekerja bank berkenaan pada 10 pagi dan pemilik restoran terbabit pada pukul 4 petang tadi.

Amihizam berkata pemilik restoran, lelaki berusia 39 tahun memberitahu restoran miliknya telah disimbah cat berwarna merah pada papan tanda restoran manakala lantai pintu utama menuju ke tangga disimbah cat warna hitam.

“Polis telah membuat semakan terhadap rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di bank dan restoran berkenaan dan mendapati kejadian berlaku antara pukul 4.15 pagi hingga 5.09 pagi tadi.

Semakan turut mendapati dua lelaki menaiki sebuah kereta jenis Proton Waja telah membaling dua plastik berisi cat merah dan hitam ke arah papan tanda restoran berkenaan namun, sebahagian dari cat hitam yang dibaling ke restoran telah terkena pada pintu utama bank dan rakaman CCTV akan dihantar ke Jabatan Forensik PDRM untuk mendapatkan analisis pakar,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Amihizam berkata kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan (iaitu melakukan khianat).

-BERNAMA


Pengarang :