Aksi pemain skuad bola sepak Bawah 19 Tahun (B-19) ketika menentang Vietnam di Bekasi, Indonesia, hari ini. Foto Facebook Football Association of Malaysia
AGENDASUKANKINI

Kelayakan Piala Asia B-20: Benteng pertahanan, jentera serangan perlu diperbaiki

SEPANG, 17 JULAI: Benteng pertahanan dan jentera serangan antara dua elemen yang akan diberi perhatian khusus dalam persiapan pasukan menjelang Kelayakan Piala Asia Bawah 20 Tahun (B-20) 2023 yang dijadual berlangsung di Mongolia, September ini.

Ketua Jurulatih skuad bawah 19 Tahun (B-19) Kebangsaan Hassan Sazali Mohd Waras berkata kedua-dua posisi itu masih mempunyai ruang untuk diperbaiki bagi memastikan anak buahnya mampu mempamerkan corak permainan terbaik pada aksi kelayakan tersebut.

Beliau menyifatkan perkara berkenaan adalah berdasarkan prestasi semasa yang ditunjukkan skuad kendaliannya sepanjang beraksi di Kejohanan B-19 Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) 2022, baru-baru ini.

“Masih terdapat ruang untuk kita baiki menjelang Piala Asia… di barisan pertahanan sikit dan bahagian menyerang kerana ia perlawanan berturut-turut yang mirip dengan kejohanan AFF ini.

“Saya perlu pastikan pasukan mempunyai pemain yang seimbang di setiap posisi dengan kekuatan pemain kesebelasan utama tidak jauh bezanya dengan pasukan kedua,” katanya kepada pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini semalam.

Jumaat lepas, skuad B-19 negara muncul juara Kejohanan B-19 AFF 2022 setelah menumpaskan Laos 2-0 pada aksi final di Stadium Patriot Candrabhaga di Bekasi, Indonesia.

Kejayaan berikut adalah kali kedua buat Malaysia apabila skuad B-19 kebangsaan yang dibimbing pengendali Kuala Lumpur City FC Bojan Hodak turut menjuarai kejohanan itu pada edisi 2018.

Mengenai aksi kelayakan Piala Asia B-20, pengendali berusia 56 tahun itu berkata kem latihan pusat dijangka bermula akhir Ogos ini, dan mengikut perancangan awal beliau mahu Malaysia sekurang-kurangnya beraksi dalam dua perlawanan persahabatan di luar negara sebelum mengharungi kempen di Mongolia, nanti.

Hassan Sazali, yang pernah menjadi penolong jurulatih skuad kebangsaan kendalian Datuk Ong Kim Swee pada 2016 hingga 2017, turut memberi bayangan akan mengekalkan skuad sedia ada untuk aksi di Mongolia.

“Mungkin kita akan arrange dua perlawanan persahabatan sebelum ke Mongolia. Sekiranya boleh dalam perjalanan ke sana (Mongolia), kita akan singgah di Korea Selatan untuk bermain dengan kelab atau pasukan kebangsaan mereka,” katanya.

Hassan Sazali berkata sasarannya adalah bagi memastikan skuad B-19 mampu melepasi pusingan kelayakan dengan menjadi lima pasukan terbaik di tempat kedua bagi menempah slot tiket ke final pada tahun hadapan.

Pada pusingan kelayakan September ini, Malaysia diundi dalam Kumpulan E bersama juara 12 kali iaitu Korea Selatan, selain Sri Lanka dan pasukan tuan rumah untuk merebut slot 10 juara kumpulan dan lima naib juara terbaik ke pusingan akhir yang dijadual pada Mac depan.

– BERNAMA


Pengarang :