Taman Botani Negara Shah Alam dibangunkan di atas tapak Hutan Simpan Bukit Cherakah Tambahan yang diwartakan pada 2007. Foto Facebook Taman Botani Negara Shah Alam
AGENDAAGENSINASIONALSELANGOR

Keluasan hutan simpan Bukit Cherakah 1,298.86 hektar

SHAH ALAM, 9 JULAI: Keluasan terkini Hutan Simpan Bukit Cherakah adalah 1,298.86 hektar manakala Hutan Simpan Bukit Cherakah Tambahan seluas 982.80 hektar, kata pengarah Jabatan Perhutanan Selangor.

Dato’ Ahmad Fadzil Abdul Majid berkata penggantian kawasan hanya diamalkan Kerajaan Negeri pada masa kini, selaras komitmen untuk mengekalkan sekurang-kurangnya 30 peratus kawasan hutan daripada keluasan tanah negeri.

“Kedua-dua hutan ini masih diuruskan Jabatan Perhutanan Selangor sebagai kelas hutan perlindungan yang menjadi habitat kepada pelbagai flora dan fauna,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata siri penyahwartaan Hutan Simpan Bukit Cherakah berlaku sekitar 1991 hingga 2006 termasuk kawasan seluas 406.22 hektar di Seksyen U10, di sini.

“Kenyataan siar warta yang dikeluarkan pada 5 Mei 2022 dibuat secara backdated bagi merujuk kepada keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada 2000.

“Selain itu, penyahwartaan ini tidak melalui proses penyiasatan awam kerana kelulusan penyahwartaan berlaku sebelum pindaan Seksyen 11, Enakmen (Pemakaian) Akta Perhutanan Negara (EAPN) pada 2011,” katanya.

Berikut kenyatan penuh Jabatan Perhutanan Selangor:

Terdapat banyak persoalan yang tular baru-baru ini mengenai kenyataan siar warta bagi penyahwartaan Hutan Simpan Bukit Cherakah, Seksyen U10 Shah Alam seluas 406.22 hektar pada Mei yang lalu. Sebahagian kawasan ini juga telah digunakan oleh orang awam sebagai taman rekreasi yang dikenali sebagai Hutan Komuniti Shah Alam (Shah Alam Community Forest).

Penyahwartaan kawasan hutan ini juga didakwa tidak melalui proses pendengaran awam selaras dengan Seksyen 11, Enakmen (Pemakaian) Akta Perhutanan Negeri Selangor 1985 (EAPN) yang dipinda oleh Kerajaan Negeri Selangor pada tahun 2011.

Jabatan Perhutanan Negeri Selangor ingin menjelaskan bahawa kenyataan siar warta (G.N. 1645-2022) bagi penyahwartaan Hutan Simpan Bukit Cherakah pada 5 Mei 2022 tersebut adalah untuk melengkapkan proses penyahwartaan yang terhenti sekitar tahun 2006. Berdasarkan Seksyen 13, EAPN Selangor, Pihak Berkuasa Negeri hendaklah membuat siar warta bagi mana-mana kawasan hutan simpanan kekal yang dinyahwarta.

Berdasarkan rekod, terdapat beberapa siri penyahwartaan Hutan Simpan Bukit Cherakah yang telah berlaku sekitar tahun 1991 hingga 2006 termasuklah kawasan seluas 406.22 hektar ini. Pelbagai kemungkinan boleh menjadi faktor yang menyebabkan proses nyahwarta kawasan tersebut tergantung di peringkat
pengeluaran Pelan Warta sahaja iaitu PW1443.

Justeru, kenyataan siar warta yang dikeluarkan pada 5 Mei 2022 tersebut dibuat secara backdated bagi merujuk kepada keputusan MMKN tahun 2000. Tindakan ini juga dilaksanakan setelah mengambil kira ulasan daripada Kamar Penasihat UndangUndang Negeri Selangor.

Selain itu, penyahwartaan ini tidak melalui proses penyiasatan awam kerana kelulusan penyahwartaan berlaku sebelum pindaan Seksyen 11, EAPN Selangor pada tahun 2011.

Manakala, penggantian kawasan hanya diamalkan oleh Kerajaan Negeri Selangor pada masa kini sahaja selaras dengan komitmen untuk mengekalkan sekurangkurangnya 30 peratus kawasan hutan daripada keluasan tanah negeri.

Walau bagaimanapun, kawasan seluas 406.22 hektar ini tidak lagi direkodkan dalam keluasan hutan simpanan kekal sejak tahun 2006.

Kini, Hutan Simpan Bukit Cherakah yang masih kekal adalah seluas 1,298.86 hektar dan Hutan Simpan Bukit Cherakah Tambahan seluas 982.80 hektar. Kedua-dua hutan ini masih diuruskan oleh Jabatan Perhutanan Negeri Selangor sebagai kelas Hutan Perlindungan yang menjadi habitat kepada pelbagai flora dan fauna.

Kawasan hutan ini turut dijadikan sebagai Taman Botani Negara Shah Alam (TBNSA) yang merupakan antara taman rekreasi awam utama di sekitar Shah Alam. Selain itu, sebahagian kawasan Hutan Simpan Bukit Cherakah ini juga dijadikan kawasan tadahan air bagi menampung bekalan air di Empangan Tasik Subang.

Secara umumnya, proses penyahwartaan ini adalah bagi melengkapkan proses yang tergantung pada tahun 2006. Kerajaan Negeri Selangor telah mengambil peranan yang sewajarnya bagi menyelesaikan perkara-perkara yang tertangguh sejak lebih 20 tahun yang lalu.

Tindakan ini juga mengambilkira kepentingan kelestarian alam sekitar di negeri Selangor selaras dengan aspirasi sebagai sebuah negeri yang pintar, bedaya huni dan makmur.

Dato’ Ahmad Fadzil Abdul Majid
Pengarah Perhutanan Negeri Selangor 


Pengarang :