Pengalaman unik bersama jemaah buta cukup mengesankan dan menjadikan Mohamad Safuan sentiasa mengingati Allah. Foto Mohamad Safuan Syed Hashim Al-Khered.
BERITA UTAMARENCANAWAWANCARA

Kenangan mutawif tentang si buta ‘celik’ depan Kaabah

Mohamad Safuan Syed Hashim Al-Khered, 35, masih terkenang jemaah haji cacat penglihatan bimbingannya lima tahun lepas. Keajaiban dialami jemaah orang kelainan upaya (OKU) itu bukti kuasa Allah SWT.

Mutawif itu ingat lagi pada suatu petang dalam musim haji 2017, jemaah buta itu memanggilnya kerana mahu bercerita. Sebagai pembimbing jemaah, beliau sedia membantu termasuk mendengar aduan.

Dengan perlahan lelaki buta itu berbisik. Jemaah cacat penglihatan sejak lahir itu menyatakan semasa dia tawaf dekat Kaabah bersama saudara, matanya ‘dibuka’ dan dapat melihat binaan Nabi Ibrahim AS dan keadaan di Masjidil Haram.

“Lelaki itu ceritakan bagaimana rupa Kaabah, dia ceritakan apa yang ada di sekelilingnya. Semua dicerita dengan teliti, tidak ada kisahnya yang cacat cela. Semuanya betul.

“Tetapi dia buta! Allahuakbar, Allah buka mata hatinya melihat keindahan Kaabah pada hari itu, istimewanya kurniaan yang Allah beri padanya hari itu,” katanya kepada Selangorkini pada 1 Julai.

Pengalaman bersama jemaah buta itu cukup mengesankan jiwa anak kelahiran Pahang itu. Tidak pernah beliau bertemu seorang buta yang dapat menceritakan keadaan sebenar Kaabah dan sekelilingnya.

Ia antara pengalaman unik graduan jurusan bahasa dari Maahad Lughah Damsyik, Syria selama 10 tahun bekerja sebagai mutawif. Pengalaman jemaah haji dan umrah sedemikian menjadikannya sentiasa mengingati Allah SWT.

Menceritakan kisah awal penglibatannya pada 2011, pada mulanya beliau tidak mahu menjadi mutawif. Namun ibunya bersungguh-sungguh dengan mengambil borang daripada akademi mutawif di Johor untuknya.

Mohamad Safuan berkata, ibunya benar-benar berhasrat dirinya menjadi mutawif, namun jiwanya masih belum terbuka dengan cadangan itu.

Bagaimanapun ketika berumur 25, Mohamad Safuan dan bapanya, Syed Hashim Syed Mohamud Al-Khered mengerjakan umrah bersama di tanah haram. Pada waktu itulah beliau jatuh cinta dengan Makkah dan Madinah.

Biarpun sering ke Makkah dan Madinah, seseorang mutawif menempuh pelbagai dugaan dengan perlu sentiasa menjaga tingkah laku di tanah haram. Foto Mohamad Safuan Syed Hashim Al-Khered

Bimbing kerabat

Setelah pulang ke Malaysia, anak kedua daripada enam beradik itu terasa seperti dipanggil-panggil semula dan tanpa membuang masa, Mohamad Safuan mengisi borang akademi mutawif.

Katanya, sebagai mutawif beliau menjadi pembimbing dan rujukan jemaah berhubung ibadah haji dan umrah. Pada masa sama, Mohamad Safuan mengadakan kuliah agama supaya masa jemaah terisi dengan ilmu bermanfaat sepanjang berada di tanah haram. Beliau juga harus menjaga keperluan dan kesihatan jemaah.

Kini berkhidmat dengan syarikat Wira Saujana Travels & Tour, beliau pernah membimbing selebriti seperti Ashraf Muslim dan Erma Fatima. Kerabat diraja Pahang, Cik Puan Muda Julita Aishah serta Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail juga pernah menggunakan khidmat bimbingannya.

Menetap di Senawang, Negeri Sembilan, Mohamad Safuan berkata daripada pandangan mata kasar, ramai beranggapan seronok menjadi mutawif kerana sering ke Makkah dan Madinah dengan kos pengangkutan dan penginapan ditanggung.

Namun sebenarnya banyak dugaan perlu dilaluinya. Selain kena sentiasa menjaga tingkah laku di tanah haram, beliau terpaksa meninggalkan isteri dan tiga anak yang masih kecil dalam tempoh yang lama.

“Demi tanggungjawab, kami berkorban daripada meluangkan masa dengan anak-anak berbulan-bulan. Kami hanya meletakkan isteri dan anak-anak di bawah jagaan Allah SWT,” katanya.

Mohamad Safuan berpesan, mana-mana individu yang mahu menjadikan mutawif sebagai kerjaya perlu mendalami beberapa perkara.

“Pertama, belajar bahasa Arab kerana itu bahasa pengantar utama di Makkah dan Madinah. Seterusnya mantapkan pengetahuan sejarah kita mengenai Nabi Muhammad SAW dan para sahabat.

“Juga dalami sirah Makkah dan Madinah. Kalau boleh fahami dan belajar sejarah Arab Saudi, itu bonus. Tidak lupa belajar cara untuk kuatkan mental dan fizikal kerana kita akan berhadapan dengan ribuan jemaah dengan pelbagai ragam,” katanya.


Pengarang :