Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menerima cenderahati kemeja-T Carsome ketika melawat gerai pameran Jelajah Selangor Penyayang di Padang Awam Batu Caves, Gombak pada 31 Julai 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Keputusan naik tarif air dibuat secara bersama semua negeri, kementerian

GOMBAK, 31 JULAI: Keputusan untuk menaikkan tarif air bagi pengguna bukan domestik adalah keputusan bersama membabitkan semua negeri, kementerian terbabit dan syarikat pengendali bekalan itu.

Dato’ Menteri Besar berkata perbincangan mengenai perkara itu dibuat sejak 2016 ketika pentadbiran Barisan Nasional dan diteruskan pada 2018 selepas Pakatan Harapan mengambil alih Putrajaya.

“Persetujuan ini dibuat secara bersama kementerian air, menteri-menteri besar, kesemua EXCO kerajaan negeri dan syarikat pengendali air.

“Keputusan ini diambil kerana mahu menjamin kelestarian air dan mulakan dengan industri yang catat keuntungan,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari pada majlis Jelajah Selangor Penyayang di Padang Awam Batu Caves, Gombak hari ini.

Justeru, beliau berkata semua pihak bersetuju dengan keputusan terbabit dan ia tidak membabitkan pengguna domestik.

“Bagaimanapun Kerajaan Negeri sedia mempertimbangkan isu ini (tarif air) ke meja rundingan sekiranya ada pihak merasakan ia tidak sesuai,” katanya.

Mengulas lanjut, wakil rakyat Sungai Tua itu berkata kenaikan tarif perlu bagi membantu syarikat pengendali mengurus air dengan baik seperti penggantian dan selenggara paip.

“Secara jujur, tarif air ini sudah lama tidak dinaikkan. Selangor 16 tahun dan ada negeri sudah cecah 40 tahun. Kita buat keputusan untuk kebaikan semua dan bukan berdasarkan populariti,” katanya.

Pada Jumaat, EXCO infrastruktur dan kemudahan awam memaklumkan tarif bekalan air baharu berkuat kuasa 1 Ogos melibatkan kategori akaun bukan domestik, rumah ibadat dan kapal.

Ir Izham Hashim berkata kadar purata RM0.20 setiap meter padu itu disifatkan masih rendah selain tidak melibatkan pengguna domestik.


Pengarang :