Pelajar menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 pada hari pertama ketika tinjauan di Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 7, Shah Alam pada 2 Mac 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Keputusan tawaran ke tingkatan enam diumum 7 Julai

PUTRAJAYA, 2 JULAI: Keputusan tawaran bagi kemasukan ke Tingkatan Enam bagi 2022 akan diumumkan pada Khamis depan (7 Julai).

Kementerian Pendidikan (KPM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2021 boleh membuat semakan keputusan tawaran dan pendaftaran kemasukan ke Tingkatan Enam tahun 2022 melalui aplikasi dalam Talian Tingkatan Enam melalui pautan https://sst6.moe.gov.my/ atau menyemak keputusan tawaran melalui sekolah asal masing-masing.

“Murid lepasan SPM tahun 2021 yang tidak menerima tawaran ke Tingkatan Enam boleh mengemukakan permohonan rayuan secara dalam talian melalui pautan https://sst6.moe.gov.my/ mulai 7 hingga 24 Julai 2022.

“Bagi murid yang tidak mempunyai capaian Internet pula, rayuan boleh dibuat melalui sekolah masing-masing,” katanya.

Menurut KPM keputusan permohonan rayuan kemasukan ke Tingkatan Enam Semester 1 akan dimaklumkan pada 1 Ogos 2022 melalui portal yang sama, manakala bagi pelajar yang tidak mempunyai capaian Internet, keputusan permohonan rayuan akan dimaklumkan oleh pihak sekolah pada tarikh yang sama.

Pelajar yang ditawarkan ke Tingkatan Enam perlu melapor diri pada 25 Julai 2022 di kolej atau Pusat Tingkatan Enam yang dinyatakan dalam surat tawaran,” katanya.

Bagi ambilan rayuan, tarikh lapor diri adalah pada 2 Ogos 2022, katanya.

– BERNAMA


Pengarang :