Orang ramai membeli bahan mentah untuk keperluan harian meskipun terdapat sesetengah harga barangan meningkat semasa tinjauan di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC), Tunjong, Kota Bharu pada 3 Julai 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Kerajaan lewat bertindak, rakyat derita kos sara hidup naik mendadak

SHAH ALAM, 13 JULAI: Kegagalan pemimpin memahami masalah dan derita rakyat menyebabkan lebih ramai terhimpit dengan kos sara hidup yang naik mendadak mutakhir ini.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan juga lewat mengatasi isu itu dan hanya menubuhkan jawatankuasa khas enam bulan setelah harga barang melonjak.

“Saya rasa lebih dekat setahun sudah melonjak naik. Enam bulan sudah betul-betul naik dan tiga bulan yang teruk, baru ditubuhkan jawatankuasa khas Kabinet,” katanya dalam wawancara eksklusif bersama Media Selangor pada 4 Julai.

“Ini yang saya sebut istilah agak keras dan kasar sikit yang mereka marah ‘oh seolah-olah kerajaan tidak buat apa.’ Kerajaan buat, siapa kata tidak buat apa-apa. Tetapi yang orang kata, sekadar sambil lewa. Dia (kerajaan) tidak faham masalah rakyat.”

Beliau turut berkongsi pengalamannya sebagai menteri kewangan dalam mendepani isu kenaikan harga barang yang sudah dijangka terutama ketika musim perayaan.

Jelas Anwar, tindakan termasuk mengadakan mesyuarat jawatankuasa Kabinet bagi membincangkan permit kelulusan (AP) dengan menumpukan barangan asas seperti telur, ayam dan sayur.

“Apabila langkah itu diambil, walau harga barang naik tetapi masih terkawal. Yang patut dikendali, kalau pengalaman saya, termasuk pengeluar.

“Pergi tengok di tempat pengeluaran ayam dan peti sejuk mereka. Ada atau tidak disorok ayam? Jadi, dia mesti langkah yang menyeluruh dan kemudian beberapa langkah tambahan seumpamanya,” katanya.

Jabatan Perangkaan Malaysia sebelum ini memaklumkan inflasi makanan terus meningkat ke paras baharu 5.2 peratus, tertinggi sejak November 2011.


Pengarang :