Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyampaikan sumbangan kepada penerima program Iltizam Selangor Sihat (ISS) sempena Jelajah Selangor Penyayang (JSP) di Stadium Utama Kuala Selangor pada 2 Julai 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Kerajaan Negeri sedia 44 inisiatif baiki kualiti, kebajikan hidup rakyat

SHAH ALAM, 25 JULAI: Kerajaan Negeri menawarkan 44 inisiatif bagi menambah baik kehidupan rakyat di negeri ini kata Dato’ Menteri Besar.

Menurut Dato’ Seri Amirudin Shari kesemua program itu dipakejkan sebagai Iltizam Selangor Penyayang (ISP) yang membabitkan peruntukan lebih RM600 juta.

“Bermula dengan tujuh program pada 2008, Selangor kini menawarkan 44 inisiatif untuk menambah baik kehidupan rakyat negeri ini,” kongsinya di Twitter.

ISP dilancarkan bulan lalu bagi menggantikan Insiatif Peduli Rakyat, membabitkan 11 inisiatif baharu bagi menambah baik kualiti hidup rakyat negeri ini.

Antara inisiatif diperkenalkan adalah program kesihatan percuma Selangor Saring, Iltizam Anak Penyayang, Saringan Barah dan Selangor Mental Sihat.

Inisiatif itu bermula dengan tujuh program pada 2008 dengan tema Merakyatkan Ekonomi Negeri kemudian pada 2017, Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) dilancarkan merangkumi 43 program kebajikan.

“Pada 2019, kita selaraskan 33 bantuan dengan aspek pemerkasaan. ISP kali ini kita tambah lagi 11, jadi ada 44 program ditawar kepada rakyat dengan belanja lebih RM600 juta,” katanya ketika berucap pada program Jelajah Selangor Penyayang di Kuala Selangor pada 2 Julai lalu.

Akhir Jun lalu, Kerajaan Negeri melancarkan Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (Bingkas), menggantikan Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) yang bakal memanfaatkan 30,000 keluarga.


Pengarang :