AGENDAJENAYAH

Kereta guna lambang, corak menyerupai kenderaan polis dirampas

SEPANG, 3 JULAI: Sebuah kereta jenis Nissan Skyline R32 yang mempunyai lambang dan corak menyerupai kenderaan polis dirampas manakala pemiliknya ditahan semalam.

Ketua Polis Daerah Sepang ACP Wan Kamarul Azran Wan Yusof dalam kenyataan hari ini berkata pihaknya mendapat maklumat berkaitan kereta awam itu menerusi satu video TikTok berdurasi 13 saat, difahamkan menyertai pameran automotif Art of Speed Malaysia yang berlangsung selama dua hari bermula semalam di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), Serdang.

Turut dirampas kunci kereta itu dan slip penyertaan pameran berkenaan.

“Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 89 Akta Polis 1967 kerana memiliki barangan yang dibekalkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk melaksanakan tugas. Siasatan masih diteruskan,” katanya.

Beliau berkata pemilik kereta berumur 45 tahun yang juga merupakan peniaga aksesori kereta dibebaskan dengan jaminan polis selepas keterangannya selesai diambil.

– BERNAMA


Pengarang :