Penyanyi nasyid dan komposer Muhammad Yasin Sulaiman yang didakwa atas dua pertuduhan menanam 17 pokok ganja dan mengedar 214 gram dadah keluar dari mahkamah selepas prosiding sebutan kes yang dihadapinya pada 18 Mei 2022. Foto Facebook Bernama TV
AGENDANASIONAL

Kes edar ganja: Yasin terlepas hukuman gantung sampai mati

SHAH ALAM, 6 JULAI : Mahkamah Majistret di sini hari ini melepas tanpa membebaskan penyanyi nasyid dan komposer Yasin Sulaiman daripada tuduhan mengedar dadah berbahaya jenis ganja.

Yasin atau nama sebenarnya Muhammad Yasin Sulaiman amat beryukur dan menyifatkan keputusan itu satu perkembangan positif untuk dirinya.

“Alhamdulillah, saya mengikut proses dan peruntukan undang-undang dan saya amat bersyukur dengan keputusan ini,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

“Tidak lupa juga ucapan terima kasih saya kepada rakan dan keluarga yang banyak memberikan sokongan, merekalah sumber kekuatan utama saya.”

Terdahulu, Yasin terlepas hukuman gantung sampai mati selepas Mahkamah Majistret melepas tanpa membebaskannya daripada tuduhan mengedar dadah berbahaya jenis ganja anggaran berat 214 gram pada Mac lalu.

Bagaimanapun pelantun lagu ‘Mimpi Laila’ itu didakwa mengikut Seksyen 39A (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana kesalahan miliki dadah jenis kanabis seberat 193.7 gram.

Ia memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun penjara dan tidak kurang 10 sebatan.

Sementara itu, abang Yasin, Zain Sulaiman, 50, bersyukur dengan keputusan berkenaan biarpun adiknya tidak dapat beraya bersama keluarga pada Aidiladha nanti.

“Saya harapkan rakan-rakan, teman akan terus mendoakan untuk Yasin,” katanya.


Pengarang :