Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari membentangkan Rancangan Selangor Pertama (RS-1) ketika Mesyuarat Kedua Persidangan Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor ke-14 di Bangunan Annex, Shah Alam pada 27 Julai 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
ADN SELANGOR

Ketua pembangkang Selangor cadang tubuh jawatankuasa pantau RS-1

SHAH ALAM, 28 JULAI: Jawatankuasa pemantauan melibatkan wakil rakyat pembangkang perlu diwujudkan bagi mengukuhkan proses semak imbang Rancangan Selangor Pertama (RS-1).

Ketua Pembangkang Selangor Datuk Rizam Ismail berkata jawatankuasa berkenaan bertindak memantau pelaksanaan pelan ekonomi negeri itu selain menilai keberkesanannya.

“Demi memastikan kejayaan RS-1 ini, saya ingin mengusulkan penubuhan sebuah jawatankuasa pemantauan yang turut dianggotai Ahli Dewan Negeri (ADN) pembangkang.

“Jawatankuasa bipartisan ini akan memastikan pelaksanaan projek yang dijanjikan Kerajaan Negeri dapat dipantau pelaksanaannya dan dinilai jika ia masih relevan,” katanya pada perbahasan RS-1 dalam sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Wakil rakyat Sungai Air Tawar turut berharap jawatankuasa itu dapat memastikan langkah pencegahan awal diambil jika projek utama berkaitan rakyat berisiko lewat atau terbengkalai.

“Saya berharap cadangan yang telah saya sampaikan mendapat perhatian sewajarnya oleh Dato’ Menteri Besar dan Kerajaan Negeri demi kemakmuran dan kesejahteraan rakyat Selangor,” kata Rizam.

Semalam, Dato’ Menteri Besar membentangkan RS-1 yang menjadi kerangka pembangunan negeri bagi tempoh lima tahun melibatkan nilai keseluruhan RM212.44 bilion.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata sebanyak RM92.44 bilion disalur kepada projek pembangunan peringkat negeri termasuk pelaksanaan beberapa insentif bagi menjamin kebajikan rakyat.

Jelas beliau, Kerajaan Negeri akan mengeluarkan dana RM7.16 bilion manakala baki melebihi RM80 bilion dibiayai anak syarikat serta pihak swasta.


Pengarang :