Pertubuhan Kesihatan Sedunia mengumumkan jangkitan cacar monyet sebagai Kejadian Kecemasan Kesihatan Awam Yang Menjadi Kebimbangan Antarabangsa pada 23 Julai 2022. Foto Facebook BERNAMA
AGENDANASIONAL

KKM: Fasiliti kesihatan diminta pantau situasi semasa cacar monyet

PUTRAJAYA, 25 JULAI: Berikutan pengumuman Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bahawa jangkitan cacar monyet kini adalah Kejadian Kecemasan Kesihatan Awam Yang Menjadi Kebimbangan Antarabangsa (PHEIC), Kementerian Kesihatan (KKM) mengingatkan semua fasiliti kesihatan agar peka dengan situasi semasa cacar monyet serta meningkatkan pengesanan kes dalam kalangan pesakit yang berisiko.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dalam kenyataan hari ini berkata sebanyak sembilan kes disyaki cacar monyet telah dinotifikasi kepada KKM setakat 23 Julai dan kesemuanya disahkan negatif.

Beliau berkata pengembara bukan warganegara hendaklah mengisi pas kembara dalam aplikasi MySejahtera dan pengembara yang tiba dari negara yang melaporkan cacar monyet akan menerima mesej kesihatan setiap hari melalui MySejahtera untuk mengingatkan mereka agar memantau gejala jangkitan cacar monyet dan status kesihatan.

“Pengembara yang tiba dari negara terbabit dinasihatkan memantau status kesihatan kendiri setiap hari termasuk gejala jangkitan cacar monyet untuk tempoh selama 21 hari dari tarikh ketibaan di Malaysia,” katanya.

Gejala cacar monyet adalah seperti demam, keletihan, ruam makulapapular yang bermula di muka kemudian menyebar ke tapak tangan dan tapak kaki diikuti bahagian tubuh lain, kejang otot dan pembengkakan kelenjar limfa.

Dalam tempoh 1 Mei 2022 hingga 23 Julai lepas, seramai 531,630 pengembara direkodkan tiba dari negara yang melaporkan kes cacar monyet dan aplikasi MySejahtera telah mengeluarkan Amaran Kesihatan Cacar Monyet kepada kesemua pengembara, katanya.

“KKM menyeru individu yang mempunyai gejala cacar monyet untuk segera ke fasiliti kesihatan untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut. Elakkan daripada kontak dengan orang lain bagi mengelakkan penularan jangkitan,” katanya.

Khairy berkata pengendali premis yang menyediakan perkhidmatan melibatkan kontak kulit dengan pelanggan seperti spa dan urutan diminta untuk sentiasa mengamalkan kebersihan diri dan persekitaran, serta memastikan pelanggan sihat, tidak mengalami gejala cacar monyet dan tiada ruam makulopapular (ruam kulit).

Virus cacar monyet boleh disebarkan melalui sentuhan langsung dengan ruam atau lesi yang terjadi pada kulit, sama ada lesi yang baharu atau sudah menjadi kuping ataupun cairan daripada lesi tersebut.

Khairy berkata KKM telah meningkatkan kapasiti makmal dalam negara daripada dua kepada 12 makmal yang boleh menjalankan ujian pengesanan virus cacar monyet, iaitu lapan adalah makmal kerajaan dan empat makmal swasta.

KKM juga mewujudkan survelan sentinel di beberapa klinik swasta dan kerajaan bagi memantau kejadian penyakit ruam atau lesi kulit selain meningkatkan survelan di pintu masuk antarabangsa negara, katanya.

Pada 23 Julai, WHO telah mengisytiharkan wabak cacar monyet sebagai PHEIC berdasarkan beberapa faktor antaranya peningkatan mendadak jumlah kes yang dilaporkan oleh negara bukan endemik cacar monyet, selain bukti dan data saintifik berkaitan jangkitan tersebut.

Pada 17 Jun lepas, sebanyak 2,103 kes cacar monyet dilaporkan berlaku di 42 negara dengan satu kematian.

Kes cacar monyet kali pertama dilaporkan oleh WHO pada 15 Mei 2022.

– BERNAMA


Pengarang :