Sebahagian warga emas yang hadir janji temu suntikan vaksin Covid-19 di pusat pemberian vaksin (PPV) Klinik Kesihatan Pulau Indah pada 27 Jun 2021. Foto Facebook Azmizam
AGENDANASIONAL

Klinik kesihatan beroperasi lepas waktu pejabat, atasi kesesakan di hospital 

SHAH ALAM, 26 JULAI: Beberapa klinik kesihatan (KK) di sekitar Lembah Klang kini beroperasi selepas waktu pejabat bagi menangani isu kesesakan di hospital.

Timbalan Menteri Kesihatan 1 berkata klinik terbabit dibuka hingga jam 9 atau 10 malam iaitu bergantung kepada keperluan setempat, lapor Berita Harian

Menurut Datuk Dr Noor Azmi Ghazali, ia bertujuan mengurangkan kehadiran pesakit di wad kecemasan di hospital, terutama membabitkan mereka yang tidak berdepan situasi yang memerlukan rawatan segera.

“Kita sedang menjalankan ‘extended hour’ (pengoperasian di luar waktu pejabat) di beberapa klinik di Kuala Lumpur dan Selangor, maknanya ia buka sampai malam.

“Kakitangan terpilih itu akan ada waktu tugas mengikut syif. Itu antara langkah yang dijalankan untuk menguraikan pesakit kerana tidak semua yang datang ke wad kecemasan di hospital yang boleh duduk di Zon Merah.

“Sesetengahnya boleh duduk di Zon Hijau, yang boleh dirawat di KK saja, tidak perlu ke hospital,” katanya selepas merasmikan Konvensyen Kualiti dan Kajian Pegawai Dietetik Ketiga, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas isu kesesakan di hospital di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia sejak akhir-akhir ini.

Dr Noor Azmi berkata, pengoperasian luar waktu pejabat pernah dilaksanakan sebelum ini, namun dihentikan ekoran penularan wabak Covid-19.


Pengarang :