Jentera Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) memasang bendera di Dewan Undangan Negeri (DUN) Semerang, Ayer Hitam sempena pilihan raya negeri Johor ketika tinjauan pada 3 Mac 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKIN
AGENDANASIONAL

Kongres Nasional KEADILAN berlangsung tiga hari mulai hari ini

SHAH ALAM, 15 JULAI: Kongres Nasional Ke-16 Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) selama tiga hari memulakan persidangannya hari ini dengan kehadiran penuh, selepas tidak dapat berbuat demikian tahun lepas susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang dilaksanakan kerajaan bagi mencegah penularan pandemik COVID-19.

Kongres tahunan ke-16 itu bermula dengan Kongres Wanita hari ini dengan ucapan daripada Pengerusi Majlis Penasihat KEADILAN Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada 9 pagi, diikuti ucapan dasar oleh Ketua Wanita Fuziah Salleh.

Sementara itu Kongres Angkatan Muda Keadilan (AMK) turut bermula hari ini dan akan dirasmikan oleh Setiausaha Agung KEADILAN Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, diikuti ucapan dasar oleh ketuanya Akmal Nasrullah Mohd Nasir.

Lebih 2,000 perwakilan dijangka mengambil bahagian dalam Kongres Tahunan Wanita KEADILAN dan AMK yang bermula serentak pada 8.30 pagi ini.

Selesai ucapan, persidangan kedua-dua sayap itu akan diteruskan dengan sesi debat mengenai usul daripada perwakilan masing-masing.

Pemilihan bagi kerusi Majlis Pimpinan Pusat (MPP) serta 20 kerusi untuk Majlis Pimpinan AMK dan 20 kerusi untuk Majlis Pimpinan Wanita akan turut diadakan.

Kongres Nasional KEADILAN Ke-16 dengan tema Menjulang Keadilan berlangsung sehingga Ahad ini.

— BERNAMA

 


Pengarang :