Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Datuk Adnan Mat (dua, kanan) beramah mesra bersama penjawat awam pada program perhimpunan penjawat awam Terengganu di Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Kuala Nerus pada 21 Julai 2022. Foto BERNAMA
AGENDA NASIONAL

Kos sara hidup naik, Cuepacs rayu kerajaan laksana gaji minimum RM1,800

KUALA NERUS, 21 JULAI: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) merayu kepada kerajaan supaya segera menunaikan tuntutan berkaitan gaji penjawat awam.

Presidennya Datuk Adnan Mat berkata ia penting bagi meringankan beban penjawat awam terutama kumpulan pelaksana yang semakin terbeban dengan kenaikan harga barang dan kos sara hidup.

Beliau berkata Cuepacs telah mengemukakan permohonan tiga perkara utama iaitu pelaksanaan kenaikan gaji minimum penjawat awam RM1,800, menaikkan dua tahap Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) dan melaksanakan sistem saraan baharu yang lebih komprehensif, adil serta saksama.

“Segala permohonan ini telah kami bentang dan bincang dengan Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) pada 13 Jun lepas dan insya-Allah Perdana Menteri menyatakan kerajaan boleh menimbangkannya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Program Perhimpunan Penjawat Awam Dan Taklimat Isu-Isu Semasa Bersama Presiden Cuepacs di Auditorium Perpustakaan Sultanah Nur Zahirah Universiti Malaysia Terengganu di sini hari ini.

Menurut Adnan segala permohonan yang dikemukakan tersebut adalah munasabah dan bertepatan dengan keadaan semasa, selain bukannya sesuatu yang ‘mewah’.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata Cuepacs akan memperhalusi kajian untuk memperkenalkan cuti haid sebagai perlindungan sosial untuk pekerja wanita.

Katanya cadangan tersebut perlu diperhalusi dengan sebaik mungkin memandangkan jumlah penjawat awam wanita semakin meningkat.

“Jika ia melibatkan cadangan maka kami akan bincangkan untuk kepentingan penjawat awam wanita.

“Sekarang penjawat awam wanita semakin meningkat. Kalau dari segi perjawatan utama di peringkat awam, 30 peratus adalah wanita bagi jawatan-jawatan utama iaitu lebih kurang 360,000 orang,” katanya.

Semalam, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat dilaporkan berkata pengenalan cuti haid memerlukan penelitian dan perbincangan lanjut dengan pihak berkepentingan termasuk Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Kewangan, kesatuan sekerja dan pertubuhan majikan.

Siti Zailah berkata ia disebabkan proses memperkenalkan cuti haid bukan sahaja membabitkan kesejahteraan pekerja wanita tetapi turut memberi implikasi kepada produktiviti dan ekonomi negara.

— BERNAMA

 


Pengarang :