Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kuala Lumpur Ariffin Samsudin (dua, kiri) menunjukkan diesel bersubsidi yang dirampas ketika sidang media pada 6 Julai. -Foto BERNAMA
AGENDA NASIONAL

KPDNHEP tumpas kegiatan seleweng diesel bersubsidi bernilai RM21,930

NILAI, 7 JULAI : Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kuala Lumpur menumpaskan kegiatan penyelewengan minyak diesel bersubsidi bernilai RM21,930 di sebuah stor haram di Taman Perindustrian Perdana, Lukut, Port Dickson, tiga hari lepas.

Pengarahnya, Ariffin Samsudin berkata menerusi serbuan pada 4 petang hasil risikan selama dua minggu itu, sebanyak 10,200 liter minyak diesel disita selain dua lori tangki, sebuah lori “bonded”, satu unit pam dan tiga unit hos minyak dengan keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM123,000.

Beliau berkata siasatan awal mendapati terdapat sebuah lori “bonded” membuat pembelian diesel bersubsidi di stesen minyak sekitar Kuala Lumpur dengan kuantiti yang besar bagi setiap transaksi.

“Lori berkenaan membuat pembelian di sekitar Cheras, Sungai Besi dan Hentian Rehat dan Rawat di sebuah lebuh raya sebelum membuat penghantaran ke stor haram yang beroperasi di Lukut, Port Dickson.

“Lori itu akan ke 16 stesen minyak dengan kutipan setiap hari dianggarkan melebihi 6,000 liter iaitu pembayaran hampir RM13,000 bagi keseluruhan transaksi yang dilakukan secara tunai bagi mengelak dikesan pihak berkuasa,” katanya ketika sidang media di sini hari ini.

Ariffin berkata susulan itu empat lelaki tempatan termasuk seorang pemilik stor berusia dalam lingkungan 30 hingga 45 tahun ditahan kerana disyaki terlibat dalam urus niaga barang kawalan tanpa lesen yang sah.

Beliau berkata sindiket berkenaan menggunakan modus operandi dengan membeli minyak diesel di stesen minyak yang jauh iaitu kira-kira 110 kilometer dari Kuala Lumpur ke Lukut bertujuan untuk mengelak daripada dikesan pihak berkuasa.

“Mereka akan melalui jalan yang agak sunyi bagi mengelakkan diekori oleh agensi penguat kuasa. Modus operandi baharu yang digunakan dengan cara keluar dari sempadan dan bergerak pada waktu siang,” katanya.


Pengarang :