Timbalan Pengerusi Lembaga Zakat Selangor (LZS) Tan Sri Ambrin Buang (dua, kiri) menyampaikan bantuan duit kepada pelajar asnaf sambil diperhatikan Ketua Pegawai Eksekutif LZS Mohd Sabirin Mohd Sarbini (kiri) pada program Korban Perdana LZS 2022 di Kompleks Bait Al-Hasanah Perepat, Klang pada 13 Julai 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Kutipan zakat naik 11 peratus setakat Jun, LZS capai sasaran

KLANG, 14 JULAI: Kutipan zakat negeri ini kini meningkat sebanyak 11 peratus setakat Jun lalu berbanding tempoh sama pada tahun lepas, kata ketua pegawai eksekutif Lembaga Zakat Selangor (LZS).

Mohd Sabirin Mohd Sarbini berkata sehingga kini jumlah sasaran bagi tempoh setengah tahun mencapai sasaran ditetapkan.

“Buat masa ini, kita hanya dapat maklumkan LZS telah mencapai sasaran kutipan, namun jumlahnya masih belum boleh dimaklumkan kerana dalam proses audit.

“Terima kasih atas sumbangan diberikan dan berharap dapat diteruskan sama ada pengeluar zakat sedia ada atau baharu,” katanya ditemui pada Program Korban Perdana 2022 di Bait Al-Hasanah di sini semalam.

Dalam pada itu, Mohd Sabirin turut mengajak orang ramai mengikut kempen Bulan Taksir Zakat bermula 15 Jun lalu hingga 31 Julai ini.

“Kempen ini bertujuan meningkatkan kesedaran dan motivasi membayar zakat menerusi potongan gaji atau zakat harta. Masih ada lagi ruang kepada rakyat negeri ini untuk menunaikan tanggungjawab.

“Kita berkolaborasi dengan pelbagai pihak antaranya polis dengan menjelajah ke seluruh ibu pejabat polis untuk menguar-uarkan tentang kempen ini,” katanya.

Maklumat terkini mengenai kempen taksiran itu boleh diperoleh di portal jom.zakatselangor.com.my atau Facebook dan Instagram @ZakatSelangor.


Pengarang :