EXCO Infrastruktur Ir Izham Hashim menjawab soalan dikemukakan wakil rakyat dalam Sidang Dewan Negeri Selangor di Bangunan Annex, SUK Shah Alam pada 29 Julai 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Laksana empat projek RM321 juta atasi isu bah di Seri Kembangan, Seri Serdang

SHAH ALAM, 29 JULAI: Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sedang melaksanakan empat projek bernilai RM321 juta bagi mengatasi isu banjir di kawasan Seri Kembangan dan Seri Serdang, kata EXCO infrastruktur.

Ir Izham Hashim berkata kos pembangunan kesemua projek berkenaan membabitkan sumber peruntukan dari persekutuan, pembangunan negeri, akaun amanah caruman parit dan Jabatan Kerja Raya (JKR).

“Berdasarkan pemerhatian Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ), isu banjir di kawasan Seri Kembangan dan Seri Serdang secara keseluruhannya adalah berpunca daripada keamatan hujan yang tinggi menyebabkan paras air Sungai Kuyoh serta anak sungainya melimpah ke kawasan rendah.

“Bagi cadangan jangka panjang JPS kini sedang melaksanakan projek pembangunan iaitu rancangan tebatan banjir Lembangan Sungai Kuyoh; menaiktaraf sistem saliran kawasan Seri Serdang; membina kolam takungan bluewater, Seri Kembangan dan menaiktaraf sistem saliran di bangunan bahagian kejuruteraan, Jabatan Pertanian Serdang,” katanya.

Beliau menjawab soalan lisan Ahli Dewan Negeri (ADN) Seri Kembangan, Ean Yong Hian Wah mengenai tindakan yang akan dilaksana untuk menyelesaikan isu banjir di kawasannya dan Seri Serdang dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), hari ini.

Izham berkata bagi isu banjir bersifat tempatan, MBSJ sedang melaksana projek pembinaan longkang di Jalan BS 3/8 bagi penyelesaian banjir di Jalan BS3/1.

“Tindakan secara berterusan juga dilaksanakan bagi memastikan sistem saliran di bawah seliaan pihak MBSJ berada dalam keadaan baik,” katanya.


Pengarang :