Wakil rakyat Kinrara Ng Sze Han (kiri) meninjau pembukaan laluan Jalan Kinrara 6 yang bersambung dengan Persiaran Puncak Jalil pada 14 Julai 2022. Foto SITI ROHAIZAH ZAINAL/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Laluan baharu mudahkan ke KL, manfaat 40,000 warga Kinrara, Puncak Jalil

SUBANG JAYA, 14 JULAI: Pembukaan laluan baharu di Jalan Kinrara 6 yang bersambung dengan Persiaran Puncak Jalil di sini memanfaatkan kira-kira 40,000 penduduk kawasan sekitar.

Wakil rakyat Kinrara berkata jalan yang dibuka Jumaat lalu dengan kos lebih RM7 juta turut melibatkan binaan sistem saliran dan memudahkan orang ramai keluar masuk ke Kuala Lumpur.

Ng Sze Han memaklumkan laluan tersebut siap dibina awal tahun ini tetapi mengambil masa untuk dibuka kepada pengguna berikutan isu teknikal termasuk pemasangan lampu isyarat.

“Perancangan awal tiada lampu isyarat tetapi Majlis Bandaraya Subang Jaya berpendapat perlu pasang kemudahan ini demi keselamatan pengguna dan dipasang pemaju dengan kos RM160,000.

“Jalan baharu ini dapat memanfaatkan penduduk sekitar Bandar Kinrara, Damai Utama dan Puncak Jalil serta memudahkan keluar masuk ke Kuala Lumpur,” katanya selepas meninjau jalan itu hari ini.

Sze Han menambah pembinaan jalan itu turut menjimatkan masa penduduk sekitar 15 minit ke Puchong tanpa perlu bersesak melalui jalan di hadapan Pangsapuri Enggang.

“Sebelum adanya jalan ini, penduduk perlu melalui hadapan Pangsapuri Enggang sehingga mengakibatkan laluan trafik agak sesak kerana terdapat 1,000 unit di pangsapuri ini,” katanya.

 


Pengarang :