Ilustrasi tangkapan penjenayah. Grafik Media Selangor
AGENDAJENAYAH

Langgar polis hingga koma, suspek lelaki hadapi enam tuduhan

KULIM, 20 JULAI: Seorang lelaki yang melanggar anggota polis hingga koma didakwa dengan enam pertuduhan di Mahkamah Kulim, esok.

Suspek menghadapi pertuduhan cubaan membunuh mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam, lapor portal Berita Harian.

Lelaki berusia 45 tahun itu juga didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Selain itu, suspek didakwa mengikut Seksyen 42 (1) dan Seksyen 44 (1A) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya sehingga menyebabkan kecederaan parah.

Bagi kesalahan mengubah suai kenderaan, dia didakwa mengikut Seksyen 6 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Dalam kejadian 9.15 pagi Sabtu lalu, suspek yang juga penyeludup minyak diesel melanggar seorang anggota polis Unit Rondaan Bermotosikal yang mengejarnya di Jalan Kulim-Serdang.

Kejadian menyebabkan Koperal Muhamad Khairul Syafiq Ahmad, 31, yang bertugas di Balai Polis Kulih Hi-Tech parah di kepala dengan mengalami pendarahan dalam otak.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kulim Superintendan Mohd Redzuan Salleh berkata anggota polis yang terbabit dalam kejadian itu masih belum sedar, namun keadaannya stabil.


Pengarang :