Ahli Dewan Negeri Bukit Lanjan, Elizabeth Wong berbual dengan penduduk yang memohon Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (Bingkas) di Dewan Desa Temuan, Petaling Jaya pada 30 Julai 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
ADNBERITA UTAMASELANGOR

Lebih 800 penduduk Bukit Lanjan terima bantuan bulanan RM300

PETALING JAYA, 30 JULAI: Lebih 800 penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Lanjan bakal menerima Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (Bingkas) sebanyak RM300 sebulan.

Ahli Dewan Negeri Elizabeth Wong berkata  ramai penduduk mendaftar sejak permohonan dibuka pada 1 Julai lalu dan lebih 200 penduduk berbuat demikian secara dalam talian.

“Kita harap bantuan ini akan memberi manfaat kepada keluarga berpendapatan rendah supaya mereka tidak terbeban dalam mengurus perbelanjaan keluarga.

“Bagi memastikan lebih ramai memohon, kita akan turun ke beberapa kawasan dan lokaliti untuk membantu mereka mendaftar. Mungkin ada penduduk berdepan masalah seperti capaian internet atau tiada peranti,” katanya.

Beliau ditemui ketika program pendaftaran Bingkas untuk penduduk Kampung Orang Asli Desa Temuan di sini hari ini.

Dalam majlis itu, pusat khidmat turut membuka pendaftaran untuk Iltizam Selangor Sihat (ISS) dan Skim Mesra Usia Emas (SMUE) untuk memastikan golongan berkenaan tidak tertinggal menikmati manfaat disediakan Kerajaan Negeri.

Bingkas menggantikan Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) dan KISS IT (Ibu Tunggal) bakal memanfaatkan 30,000 keluarga membabitkan peruntukan RM108 juta.

Program itu adalah sebahagian daripada 44 insentif Iltizam Selangor Penyayang (ISP) bertujuan membolehkan penerima mendapat bantuan bulanan sebanyak RM300 sebulan atau RM3,600 setahun.


Pengarang :