EXCO Hal Ehwal Orang Asli, Hee Loy Sian ketika majlis Perjumpaan Pemimpin Masyarakat Orang Asli Negeri Selangor bersama Dato’ Menteri Besar Selangor di Pusat Konvensyen Shah Alam pada 7 Julai 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Lebih RM400,000 dibelanja untuk kebajikan Orang Asli tahun lalu

SHAH ALAM, 8 JULAI: Kerajaan Negeri membelanjakan sebanyak RM407,373.50 untuk kebajikan Orang Asli tahun lalu, menurut EXCO hal ehwal etnik itu.

Hee Loy Sian berkata dana itu disalur bagi penganjuran program gotong-royong, menaik taraf kemudahan asas dan juga projek kecil yang lain.

“Peruntukan ini juga digunakan untuk melaksanakan program pendidikan di beberapa kampung dengan kerjasama Persatuan Pembangunan Orang Asli Malaysia.

“Kerajaan Negeri menyumbangkan bantuan bakul makanan kepada 6,500 ketua isi rumah yang terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berjumlah RM650,000,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perjumpaan Pemimpin Masyarakat Orang Asli Negeri Selangor bersama Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari di Pusat Konvensyen Shah Alam semalam.

Tambah Loy Sian, Kerajaan Negeri juga menyediakan peruntukan khusus bagi pelaksanaan kerja ukur dan pewartaan tanah.

“Setakat ini, Kerajaan Negeri telah mewartakan 29 perkampungan Orang Asli di Selangor yang melibatkan keluasan 1,672.67 hektar.

“Semua kampung tersebut telah selesai diwartakan sama ada di bawah Rizab Sakai, Seksyen 62 Kanun Tanah Negara, Seksyen 6 Akta Orang Asli atau Seksyen 7 Akta Orang Asli,” katanya.


Pengarang :